‘Kita politik tak gaduh punya’

‘Kita politik tak gaduh punya’

“Kami nak bergambar sama (dengan calon Pakatan Harapan, Haji Karmaine Sardini),” kata seorang pemuda berkemeja-T BN lewat petang tadi.

Serentak itu, pengundi Parlimen Tanjung Piai tersebut bersama beberapa rakan sebayanya berusia sekitar 30-an dan 40-an itu mengangkat muka depan akhbar Sinar Harian hari ini yang memaparkan poster Karmaine.

Calon PH berusia 66 tahun itu kemudiannya dilihat melemparkan senyuman ketika sedang mendekati dan bersalaman dengan mereka.

“Kita politik tak gaduh punya,” kata Karmaine kepada jurugambar dan pemberita yang sibuk merakamkan detik itu di perkarangan Sekolah Agama Telok Kerang.

Berbaki beberapa jam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai berakhir, Karmaine meneruskan aktiviti mendekati pengundi.

Sambil berseloroh dan bersalaman, Karmaine sempat bertanya khabar dengan mereka yang juga merupakan orang kampung kelahiran Telok Kerang.

Beliau turut memujuk mereka agar tidak lupa memangkahnya esok.

Sementara itu, ditanya tentang keseluruhan kempen dua minggu ini, Karmaine memberitahu trend sokongan pengundi kepada PH dilihat semakin baik.

Beliau berharap pengundi yang berjumlah 52,989 orang menunaikan tanggungjawab dengan memilihnya esok.

Karmaine dengan latar belakang agama dilihat mampu menarik undi orang Melayu kepada PH yang merangkumi 57 peratus daripada keseluruhan pengundi di kawasan penghujung Benua Asia itu.

Beliau bertempur enam penjuru dengan calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Wendy Subramaniam (Gerakan), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Pada PRU-14, Karmaine bertanding di kawasan Parlimen bersebelahan iaitu Pontian tetapi tewas kepada calon BN Datuk Seri Ahmad Maslan dengan majoriti tipis 833 undi.