Malaysia Dateline

Kita simpati dengan dia, Hadi ada masalah pemikiran – Mat Sabu

Pimpinan tertinggi AMANAH hari ini mengulas dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang terhadap Pakatan Harapan yang dikatakan sebagai tidak beriman dan berakhlak.

Menerusi sidang media selepas merasmikan Konvensyen Parti Amanah Negara hari ini, Presidennya Mohamad Sabu berkata adalah lebih baik tidak melayan kenyataan yang dikeluarkan presiden Pas itu.

Baginya, Hadi mungkin mempunyai masalah ‘dalaman’ selain menyifatkan pendirian Hadi sendiri tidak tetap dan berubah-ubah setiap minggu.

“Saya setuju dengan jawapan Tun Mahathir. Dulu Hadi Awang kata Umno itu kafir tapi lepas itu dia kawan dengan Umno. Maka dia kafir juga.

“Tak perlu ulaslah sebab presiden Pas ni pendirian dia akan berubah tiap minggu. Minggu depan kita tak tahu pula apa pandangannya. Saya rasa dia hadapi masalah dalaman, (masalah) pemikiran dia.

“Nasihat kepada beliau, beliau ada masalah kot. Kita simpati dengan dia,” kata Mat Sabu.

Sementara itu Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad pula berkata, beliau tidak hairan dengan apa yang diperkatakan oleh presiden Pas kerana mereka sedang terdesak dan tak ada isu untuk dibangkitkan.

Beliau menganggap Pas sebagai tidak ada modal lain selain menjual agama.

Beliau juga melihat, Pas tidak mempunyai apa-apa prestasi baik yang mahu ditunjukkan dan dengan itu mereka menggunakan modal agama untuk mengkafirkan semua orang

“Pas sebenarnya tak ada modal selain menjual agama. Dia nak tunjuk prestasi yang baik dalam pentadbiran, tapi apa yang dia ada dekat Kelantan, Kedah? Pelbagai masalah yang dihadpai rakyat.

“Dia nak kata apa lagi. Kementerian yang mereka pegang pun apa prestasinya. Jadi apa je modal dia ada?

“Modal dia ialah kafirkan semua orang. Semua orang bukan Islam, semua tak berakhlak, tak bermoral. Mereka sahajalah yang baik.

“Tetapi dari sudut apa yang kita lihat secara praktiknya, jauh dari apa yang dikatakan dan diamalkan. Kita tak hairan sebab kenyataan ini terdesak apabila mereka sedar mereka tak ada apa selainkan isu agama untuk diperalatkan,” ulasnya dalam sidang media bersama pimpinan parti AMANAH hari ini.

Konvensyen AMANAH akan berlangsung selama dua hari bermula hari ini hingga esok, dan ini merupakan konvensyen terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15.