Kita suka kalau ada gabungan Umno dengan PAS, kata Mahathir

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberikan reaksi positif apabila ditanya kemungkinan terbentuknya kerjasama Umno dan PAS berikutan pertemuan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam.

Bercakap kepada pemberita selepas Seminar Serantau Muslim Berbilang Kaum di Putrajaya, Dr. Mahathir berkata: “Kita suka kalau ada gabungan Umno dengan PAS,” ujarnya tanpa mengulas lanjut,  sebagaimana dipetik daripada portal media.

Semalam Najib dan Abdul Hadi bertemu dalam majlis perasmian Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015. Banyak pihak melihat pertemuan tersebut sebagai merintis kerjasama antara kedua-dua parti dalam meningkatkan penyatuan umat Islam dan bangsa Melayu di negara ini.

Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, umat Islam tidak seharusnya mendiskriminasi golongan yang baharu memeluk agama Islam dan menanggap mereka sebagai ‘Muslim kelas kedua’.

Dr Mahathir, yang juga penaung Pertubuhan Kebajikan Islam (Perkim) berkata golongan mualaf itu seharusnya dianggap sebagai saudara.

“Tidak boleh ada diskriminasi. Kadang-kadang kita merasakan mereka Muslim kelas kedua. Itu salah. Tiada perbezaan antara seorang Muslim dan yang lain kecuali dari segi taqwa.

“Itu (taqwa) merupakan satu-satunya perkara yang membezakan kita,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada seminar anjuran Perkim itu.

Seminar dua hari bermula hari ini bertujuan mengukuhkan solidariti Muslim dan menjadi platform mengumpul idea dan pendapat dalam menyatukan masyarakat Islam.

TAGS