Malaysia Dateline

“kita tak akan beri laluan mudah kepada BN untuk menang”

AMANAH akan memastikan sokongan terhadap calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi setidak-setidaknya memperoleh jumlah sokongan yang sama seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Pengarah Pilihanraya AMANAH, Datuk Asmuni Awi berkata, pilihanraya ketika ini agak berbeza dengan pilihanraya sebelumnya kerana perubahan politik yang menyaksikan gabungan Pas dan Umno dalam kerajaan.

Bagaimanapun katanya, berdasarkan faktor pengundi luar yang dijangka tidak pulang untuk mengundi, kesan kepada jumlah undi akan sedikit berbeza.

“Setidak-tidaknya matlamat kami adalah memastikan bahawa sokongan yang diperolehi Amir adalah sama dengan sokongan yang diterima oleh bersatu dalam PRU yang lalu.

“Walaubagaimanapun, kami pasti pengundi Pas tak akan keluar menyokong (BN) dan setakat ini banyak kesan positif kita dapati.

“Kita tak akan beri laluan mudah kepada BN untuk dapatkan kemenangan dalam PRK ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi ramah mesra pimpinan AMANAH bersama media sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad; dan Pengerusi AMANAH Melaka, Adly Zahari.

Pada PRU14, BN yang diwakili Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib meraih 8,327 undi menewaskan calon Pas, Zulfadli Zainal yang memperolehi 4,103 undi.

Manakala calon Bersatu, Mohd Amran Ibrahim mendapat 6,144 undi.

Sementara itu, Asmuni yang juga Pengerusi AMANAH Perak berkata, AMANAH telah menggerakkan seluruh jenteranya bagi melaksanakan program termasuk ziarah rumah ke rumah, ceramah kelompok dan menyantuni masyarakat orang Asli yang juga sebahagian dari pengundi Dun Slim.