Malaysia Dateline

“Kita tak nak Malaysia bankrap macam Sri Lanka”- Warganet mahu pemimpin rasuah dijatuhkan segera

Sri Lanka bankrap masih lagi menjadi perbualan hangat wargamaya sehingga hari ini. Mana tidaknya, negara yang berpenduduk sekitar 22 juta orang itu, dilapor muflis disebabkan rasuah berleluasa di negara tersebut.

Negara kita juga sejak akhir-akhir ini banyak membongkar salah laku dan ketirisan yang dilakukan pemimpin atasan. Tidak hanya mereka yang berada di herarki tertinggi, sampai ke peringkat akar pun ada yang terpalit dengan rasuah.

Di sini, menimbulkan kebimbangan orang ramai yang rata-rata memberi amaran mungkin Malaysia mengikut jejak langkah Sri Lanka disebabkan sikap penguasa yang tidak amanah.

Bagaimanapun seorang pengguna Twitter yang menggunakan akaun @wolfipali, menegur agar orang ramai tidak mendoakan perkara buruk terjadi kepada Malaysia kerana hutang negara masih lagi dalam keadaan terkawal.

Dia memberitahu, Malaysia sedang mengawal ekonomi negara daripada bankrap dengan usaha menaikkan kadar faedah dan melaksanakan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Katanya juga, masalah yang berlaku di Malaysia tidak seteruk di Sri Lanka dan meminta netizen berhati-hati dengan apa yang mereka minta

Ciapan itu kemudian disanggah warganet yang menyifatkan individu berkenaan salah tafsir dengan apa yang dibimbangi netizen.

“Masalahnya orang bukan minta Malaysia bankrap macam Sri Lanka. Kita nak rakyat sedar dan bangkit belasah menteri. Tapi tu lah semua pun takut masuk lokap. Akhirnya hadap je lah,” ciap pengguna Twitter.

Apa yang dapat difahamkan, orang ramai menekankan tentang lemahnya pengurusan ekonomi dan rasuah berleluasa.

Bahkan mereka yakin, dengan ketirisan meningkat, tidak mustahil Malaysia berkesudahan seperti Sri Lanka.

“Tak ada siapa yang minta Malaysia jadi seperti Sri Lanka. Yang diminta adalah agar semua rakyat Malaysia peka dan waspada yang kita boleh jadi seperti Sri Lanka jika dibiarkan berleluasanya rasuah, tadbir urus yang lemah, dan menteri atau politikus yang hanya pentingkan poket sendiri,” tulis pengguna lain.

Isu ini turut mendapat perhatian Penganalisis Kanan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Harris Zainul yang berpendapat tidak ada rakyat Malaysia yang mahukan nasibnya sama dengan Sri Lanka, cuma negara itu boleh dijadikan pengajaran tentang akibat salah guna kuasa.

“Saya pun tak bersetuju dengan perbandingan Malaysia-Sri Lanka. Majoriti hutang kerajaan adalah kepada pelabur tempatan dan bukan antarabangsa.

“Namun saya rasa bukannya rakyat Malaysia meminta nasib sama tetapi Sri Lanka merupakan pengajaran tentang akibat rasuah/salah guna kuasa,” tulisnya.