Belum habis lagi isu mengaitkan pemecatan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, sekali lagi timbul pula cakap-cakap mengenai kemungkinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, akan melompat parti.
Ia selepas Timbalan Presiden PKR itu menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran parti Gerakan.
Kali ini, beliau dikatakan akan keluar bersama kem yang menyokongnya dalam PKR untuk menyertai Gerakan, sekiranya Zuraida, dikenakan tindakan disiplin oleh lembaga disiplin parti.
Namun begitu, Azmin ketika ditanya pemberita, beliau mahu semua pihak untuk tidak membincangkan lagi soal politik.
Sebaliknya beliau berkata, isu pembangunan negara perlu diberi perhatian seiring dengan hasrat kerajaan yang fokus untuk memulihkan ekonomi negara.
“Saya minta kita tumpu soal B40 dan soal ekonomi. Ini kerana itulah keperluan semasa yang perlu diberikan perhatian oleh media dan juga rakyat.
“Perdana Menteri dan jemaah menteri sedang berusaha gigih untuk memastikan masalah kepayahan rakyat dapat ditangani segera secara bijaksana.
“Kita ini terlalu banyak sangat politik, hentikan cakap-cakap politik ini, kita tumpu soal pembangunan negara dan inilah hasrat kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk bersama secara kolektif memulihkan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani Kerjasama Strategik Petronas & Agrobank: Program Memperkasakan B40, di Dewan Conference 1, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).