Kita tiada masa nak layan,  kita  mahu maju dan jaga kebajikan rakyat, kata Ahmad Razif

Kita tiada masa nak layan, kita mahu maju dan jaga kebajikan rakyat, kata Ahmad Razif

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman tidak akan mengambil peduli mengenai apa yang diperkatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal Datuk Seri Ahmad Said  kerana menganggap isu yang kepimpinan negeri itu telah berakhir dan akan memberi perhatian untuk memajukan Terengganu demi kesejahteraan rakyat.

“Kita tidak ada masa nak layan itu semua, apa dia nak kata, katalah. Apa yang penting sekarang kita mahu terus maju ke hadapan dan jaga kebajikan rakyat”, demikian ditegaskan  Ahmad Razif  ketika diminta mengulas kenyataan Ahmad di Kemaman minggu lalu yang mendakwa kini Menteri Besar itu sedang menghitung hari untuk diturunkan daripada jawatannya.

Dalam majlis di Kemaman itu, Ahmad mendakwa beliau telah menyampaikan mesej kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk menghadap Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin sebaik sahaja baginda pulang dari luar negara untuk meminta (perkenan) pertukaran menteri besar.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri pada 8 Mac lalu, Ahmad yang juga Ketua Umno Bahagian Kemaman mengemukakan cadangan usul undi tidak percaya terhadap menteri besar namun cadangan itu ditolak Yang Dipertua Dun Datuk Mohd Zubir Embong.

Semalam Ketua Penerangan Umno Terengganu Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar pula mempersoalkan kedudukan  Ahmad  yang seakan mempunyai kuasa besar dalam parti mengatasi kuasa Presiden Umno dan Perdana Menteri untuk mengarahkan agar memecat Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan media beliau dipetik berkata, tindakan Ahmad yang mengatakan nasib Ahmad Razif sebagai menteri besar  umpama telur di hujung tanduk adalah tidak berasas sama sekali.

Umno Terengganu ujarnya dikalangan ahli akar umbi terdiri daripada lebih 4000 ketua-ketua cawangan serta ketua-ketua sayap dari seluruh negeri yang berhimpun pada Sabtu lalu di Stadium Tertutup Gong Badaktelah melafazkan ikrar taat setia pada parti dan pemimpin.

“Adakah Yb Kijal mempunyai kuasa dalam parti atau kerajaan yang mengatasi kuasa Presiden dan Perdana Menteri untuk mengarahkan menteri besar diturunkan?” soal Wan Abdul Hakim yang juga Adun Air Putih itu.

TAGS