Malaysia Dateline

‘Kita tidak akan berhenti tegur siap sedia banjir’

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Johor, hari ini meluahkan rasa kecewa mereka berikutan penyediaan dalam menghadapi banjir yang dianggap lemah dan perlahan.

Timbalan Ketuanya, Rozita Abdul membidas tindakan kerajaan yang mengambil Hal berkenaan bencana ini secara sambil lewa.

“Kita dah puas bercakap soal penyediaan menghadapi musim tengkujuh yang diyakini akan melanda negara setiap hujung tahun.

“Namun apa yang kita kesalkan kerajaan mengambil perkara itu secara sambil lewa dan tidak menghiraukan teguran dan saranan dari pihak kami.

“Akhirnya rakyat menjadi korban akibat dari bencana alam yang berlaku ini. Kita tidak akan berhenti dari terus menegur kerajaan dalam hal kepentingan alam sekitar ini,” tegasnya ketika dihubungi.

Beliau yang merupakan Pengarah Alam Sekitar dan Kelestarian Parti Amanah Johor turut berdukacita dengan tahap kesedaran kerajaan dalam isu alam sekitar ini.

“Bila alam menunjukkan sikapnya, manusia akan menjadi mangsa dan ini akan menyusahkan pelbagai pihak.

“Kita sudah tegur untuk kerajaan menilai semula semua sistem peparitan dalam negara ini untuk dikenal pasti untuk kebarangkalian bencana banjir boleh berlaku sebelum ini,” tegasnya lagi.