Kita tidak akan tutup Kemas, kata Mukhriz

Datuk Seri Mukhriz beramah mesra dengan jemaah selepas solat subuh di Masjid Zahir, Alor Setar.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Kedah memberi jaminan akan mengekalkan agensi kerajaan Pusat di era pentadbiran BN sekiranya ia memberi manfaat kepada rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, operasi agensi-agensi tersebut bukan setakat diteruskan malah usaha akan diambil bagi memperkasakannya di bawah pemerintahan kerajaan PH kini.

“Dakwaan Kemas akan ditutup seperti mana yang digembar-gemburkan adalah satu fitnah yang amat besar dan melampau.

“Jaminan diberikan bahawa semua agensi kerajaan Pusat walaupun ianya ditubuhkan pada zaman pemerintahan BN dulu, tetapi memberi manfaat kepada rakyat, maka ia akan diteruskan.

“Kemas merupakan salah satu agensi kerajaan yang amat berjasa kepada masyarakat khususnya bagi kawasan kampung seperti di Kedah,” jelasnya.

Beliau juga berkata, yang penting ialah tiada unsur politik dalam memberikan khidmat kepada rakyat.

Selain itu, Mukhriz memberi jaminan akan membantu sekolah pondok dan Maahad Tahfiz yang diusahakan pihak persendirian.

Beliau turut memaklumkan cadangan kerajaan negeri untuk menstruktur semula jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK).

“Kita juga mahu penduduk kampung di setiap kampung diberi pembelaan yang secukupnya melalui beberapa agensi sedia ada.

“Setiap daerah mempunyai pejabat daerah dan juga penghulu serta ketua-ketua kampung.

“Maka mereka perlu bertanggungjawab bagi memberi pembelaan yang sewajarnya kepada setiap penduduk kampung,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, sebelum ini terdapat rungutan wujud unsur politik dan pilih kasih dalam mengagihkan bantuan kepada penduduk kampung oleh JKKK.

“Masalah ini akan diberi perhatian serius serta diatasi dengan segera agar siapa sahaja tanpa mengambil kira fahaman politik maupun kedudukan mendapat pembelaan.

“Seandainya ada yang memerlukan bantuan dan pembelaan maka ia wajib diberi pembelaan yang sewajarnya.

“Ini merupakan beberapa pembaharuan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan PH Negeri Kedah bagi memberi pembelaan kepada penduduk yang memerlukan,” katanya lagi.

7.7
OVERALL SCORE
: 3.0
2 user votes x 10.0
CATEGORIES
TAGS