Kita tidak pengaruhi muktamar mereka, kata Dr Mahathir

Kita tidak pengaruhi muktamar mereka, kata Dr Mahathir

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan mempengaruhi sebarang keputusan perwakilan dan pemimpin Pas mengenai jalinan kerjasama dengan Bersatu dalam muktamar parti itu yang akan diadakan pada Sabtu ini.

Sebaliknya Dr Mahathir mengulangi pandangannya, parti Islam itu akan kalah jika mengambil keputusan bersendirian tanpa menyertai Pakatan Harapan.

“Kita tidak mahu pengaruhi muktamar mereka – terpulang pada mereka.

“Mereka tentu sedar jika mereka bertanding satu parti sahaja bukan mereka akan kalah tetapi BN akan menang. Seolah-olah mereka menolong BN.

“Perkara ini disedari ramai ahli akar umbi Pas – mungkin pemimpinnya berpendapat lain.

“Tetapi hakikatnya ialah mereka yang ingin jatuhkan Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri, jika berpecah antara Pas dengan Pakatan Harapan besar kemungkinan BN menang,” ujarnya dalam sidang media yang diadakan di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang harapan parti itu terhadap kebarangkalian Pas akan memutuskan hubungan langsung dengan Bersatu dan Pakatan Harapan dalam Muktamar Tahunan Pas ke-63 yang akan diadakan di Kota Sarang Semut di Alor Setar pada 29 April hingga 1 Mei ini.

Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan berkata, parti itu tidak menjemput Bersatu bagi menghadiri muktamar tahunan itu.

Beliau turut mengesahkan Pas hanya menjemput pemimpin PKR yang merupakan salah satu daripada parti dalam gabungan Pakatan Harapan.

Jelas Takiyuddin, tindakan itu adalah selaras dengan keputusan parti yang menetapkan hubungan dengan Bersatu ‘digantung sementara’ yang mana Pas tidak lagi mengadakan program bersama parti yang baharu lapan bulan ditubuhkan itu.