Kita tidak sokong, jangan nak kata kita makan dedak, kata Umno Selangor

Kita tidak sokong, jangan nak kata kita makan dedak, kata Umno Selangor

 

 

 

 

 

Pemimpin Umno Selangor menolak dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad terdapat pemimpin parti itu yang telah termakan dedak untuk tidak mendesak Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Razak melepaskan jawatannya.

Datuk Mat Nazari Ahmad DahlanPemimpin Umno Selangor menolak dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad terdapat pemimpin parti itu yang telah termakan dedak untuk tidak mendesak Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Razak melepaskan jawatannya.

Ahli dan pemimpin Umno yang tidak menyokong Deklarasi Rakyat yang diketuai bekas perdana menteri itu, ekoran mereka memegang prinsip agama, bangsa dan negara lebih penting daripada seorang pemimpin.

Setiap gerakan untuk menjatuhkan seorang Perdana Menteri atau sebuah parti pemerintah perlulah dilakukan melalui proses demokrasi berparlimen iaitu melalui pilihan raya bukan gerakan rakyat.

Malah setiap gerakan atau desakan rakyat itu perlulah bersandarkan kepada fakta bukan persepsi semata-mata.

Begitu pandangan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Mat Nazari Ahmad Dahlan yang berkata, majoriti pemimpin dan ahli Umno berpaksikan kepada fakta untuk menyokong sebarang usaha atau gerakan rakyat untuk mendesak Presiden Umno  berundur.

“ Apabila kita tidak menyokong gerakan mereka, jangan nak kata kita dah makan dedak pula. Saya dan Umno Negeri tidak ada yang termakan dedak disebabkan majoriti kita tidak sokong Deklarasi Rakyat.

“Kita berpaksikan kepada kenyataan yang benar dan fakta yang betul. Kita ikut pemimpin yang ada hari ini kerana kita rasakan apa yang dilakukan dan pelan tindakannya untuk rakyat dan negara ke arah lebih baik sejak beliau dipilih rakyat untuk menjadi Perdana Menteri.” ujar Adun Batang Kali ini.

Mat Nazari berkata, jika seseorang pemimpin melakukan sesuatu yang banyak memberi manfaat kepada rakyat sejak menerajui negara, sedang tuduhan bahawa pemimpin itu melakukan korupsi atau salah guna kuasa belum lagi dibuktikan, maka tidak perlu mendesak perletakan jawatannya.

“Kenapa nak mempertikaikan nak cakap bukan-bukan, nak desak beliau lepaskan jawatan.

“ Perkara yang disebut-sebut itu tidak sahih kerana belum dibuktikan. Bila tiada bukti maknanya fitnah, melainkan sudah tersabit kesalahan kerana mempunyai bukti yang cukup untuk beliau dihadapkan ke mahkamah.

“Biarlah mahkamah yang jatuhkan hukum ke atas Perdana Menteri jadi apakah rasionalnya Deklarasi Rakyat itu mahu menjatuhkan Perdana Menteri pada waktu ini,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau diminta mengulas dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi entri terbaru di dalam blog chedet cc semalam, berkata kebanyakan ahli dan pemimpin Umno yang ada pada hari ini sudah menjadi bisu, pekak dan buta.

Mahathir berkata, mereka sebenarnya sudah tidak lagi sayang kepada Umno kerana didakwa telah banyak makan dedak yang disuap oleh Najib.

Datuk Mohd Shamsudin LiasMengulas akan dakwaan sama dibuat Mahathir itu, bekas Ketua Pembangkang Selangor yang juga Adun Sungai Burung, Datuk Mohd Shamsudin Lias pula berpandangan beliau tidak terkejut dengan tindakan Mahathir mengetuai Deklarasi Rakyat.

“Kita tahu apa perjuangan kita. Jika betul pertahankan agama, bangsa dan negara saya fikir pemimpin Umno yang dituduh makan dedak itu juga akan berjuang bermati-matian sokong Mahathir.

“Kalau dia nak kata kita ini bisu pekak dan buta, kita juga nak kata apa jadi dengan Mas dan Perwaja takda orang pula yang mahu terfikir untuk desak dia lepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri ketika itu.

“Saya nak bagi tahu pada dia, ini kerana ahli dan pemimpin Umno kekal dengan prinsip pertahankan perlembagaan negara, sebab seorang pemimpin di pilih melalui proses demokrasi, melalui pilihan raya.

“Kita melihat asas tuntutan itu adakah rasional? Zamannya jadi perdana menteri siapa yang berani tegur Mahathir. Dia dulu yang menyuarakan supaya banteras politik wang di zamannya.

“Jadi kalau nak tuduh pemimpin Umno sekarang sudah termakan dedak dia juga dulu yang suka bagi dedak, dia sekarang cakap apa yang dia pernah lakukan dulu.

“Bagi saya ini semua cakap-cakap orang politik yang mahu menarik minat rakyat menyertai gerakan mereka.

“Sudah pasti di kalangan pemimpin pembangkang akan menangguk di air keruh dengan krisis dalaman Umno sendiri dan bekerjasama untuk laksanakan `gelombang ketiga’ iaitu gerakan rakyat melalui demontrasi jalanan ke deklarasi rakyat ke kongres rakyat pula,” ujarnya.

Malah katanya lagi harapan untuk membawa 1juta tandatangan ke Istana Negara juga tidak akan menjadi dorongan kepada majlis Raja-raja untuk turut menyokong Deklarasi Rakyat itu.

“Saya yakin Majlis Raja-raja adalah sebuah institusi yang unggul,sangat berpegang kepada perlembagaan negara. Tidak semudah itu untuk bawa 1juta tandatangan untuk menyatakan rakyat tidak sokong Najib dan desak beliau berundur.

“Kalau nak kutip 1juta tanda tangan di kalangan ahli Umno sendiri sekejap saja kita boleh buat kalau betul Najib kelak disabitkan kesalahannya, tapi hari ini majoriti ahli dan pemimpin Umno masih menyokong kepimpinan Najib,” jelasnya.

 

TAGS