Pelawak dan pelakon, Along Cham baru sahaja dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Sesyen Sepang, semalam dari satu pertuduhan memiliki bahan disyaki dadah berbahaya jenis ganja, Disember tahun lalu.
Namun pelawak berusia 42 tahun terbabit kembali mengejutkan banyak pihak apabila dilaporkan bakal memfailkan dan membuat pengesahan lafaz cerai secara taklik terhadap isterinya, Afreena Suhaimi.
Perkara itu disahkan sendiri oleh pemilik nama sebenar Muhammad Nizamudin Ahmad itu yang dijangka bakal memfailkan pengesahan cerai taklik pada jam 11 pagi ini di Mahkamah Syariah Putrajaya, lapor Berita Harian.
Along yang mula dikenali ramai selepas meraih gelaran naib juara Raja Lawak Astro musim kedua bersama kumpulan Cham pada 2008 itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.
“Saya tiada komen, tetapi saya bakal memfailkan pengesahan lafaz cerai secara taklik, hari ini. Kita tunggu episod seterusnya,” katanya dengan ringkas memetik laporan Berita Harian.
Terdahulu, Along melakukan sujud syukur dalam kandang tertuduh semalam apabila dibebas tanpa dilepaskan atas satu pertuduhan memiliki dadah disyaki kanabis ditemui di kediamannya di Cyberjaya, Disember tahun lalu.
Pelawak berkenaan bagaimanapun dituduh semula di Mahkamah Majistret Sepang di atas dua pertuduhan lain iaitu memiliki dan memasukkan dadah sebelum membuat pengakuan tidak bersalah.
Mengikut pertuduhan pertama, pelawak itu didakwa ada di dalam milikan bahan dadah berbahaya jenis kanabis seberat 49.61gram di sebuah rumah di Cyberjaya, pada jam 3.10 petang, 14 Disember tahun lalu.
Bagi pertuduhan berkenaan, Along Cham dituduh mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39(a)(1) akta sama.
Manakala untuk pertuduhan kedua, pelawak itu didakwa memasukkan dadah berbahaya disyaki jenis tetra hydrocannibol (THC), di lokasi sama, pada jam 10 malam, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang boleh dibaca bersama 38 B akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan dikenakan pengawasan tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.
Majistret Muhamad Bukhori Md. Ruslan kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 untuk pertuduhan pertama manakala bagi pertuduhan kedua pula adalah RM1,500.
Baca juga: Selamat tinggal…tiada lagi struktur asal Stadium Shah Alam yang masih berdiri