Malaysia Dateline

Khairy digesa sedia SOP pilihan raya untuk empat fasa PPN, jangan ada dua darjat

Kementerian Kesihatan perlu menyediakan prosedur operasi standard (SOP) pilihan raya bagi keempat-empat fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Malaysia, kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.

Menurutnya, langkah itu perlu dilakukan bagi memastikan tiada amalan dua darjat dalam pelaksanaan pilihan raya, seperti keputusan kerajaan yang membuta tuli melarang majlis sosial dan perhimpuan berkaitan pilihan raya negeri Melaka bermula 25 Oktober hingga 27 November.

“Meskipun rakyat Malaysia sentiasa sedar akan keperluan untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19, wabak ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melarang sebarang perhimpunan dan majlis sosial yang sepatutnya boleh diadakan dengan pematuhan SOP.

“Alasan yang diberikan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bahawa partinya sendiri gagal mematuhi SOP bukan sahaja suatu pengakuan terhadap tindak-tanduk partinya yang melanggar undang-undang, malah menunjukkan sikap dwi-standard dalam penguatkuasaan undang-undang di Malaysia,” tegasnya dalam kenyataan petang ini.

Tambah Lim lagi, penyalahgunaan kuasa oleh Menteri Kesihatan menerusi dengan melarang semua perhimpunan dan majlis sosial sepanjang PRN Melaka, tidak akan berlaku jika kerajaan tidak mengamalkan sikap dua darjat.

Dua darjat menurut Lim ialah satu undang-undang khas untuk kelompok yang berkuasa dan satu set undang-undang lain untuk pihak yang tidak berkuasa.

Justeru katanya, SOP pilihan raya untuk empat fasa PPN harus dipatuhi oleh semua parti politik, sama ada di dalam kerajaan mahupun di luar kerajaan, dan semua pegawai penguatkuasa harus melaksanakan tugas penguatkuasaan dengan tegas.

“Malaysia telah menjadi bahan jenaka di mata masyarakat dunia apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) tidak boleh memberikan jaminan bahawa tidak akan berlaku amalan dua darjat dan memastikan parti kerajaan sendiri akan mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Bagaimana perkara ini dapat memastikan rakan sejawat beliau dalam Kabinet tidak akan cuba mencari cara untuk memintas apa-apa SOP yang ditetapkan untuk PRN Melaka ini sekiranya beliau tidak dapat memberikan jaminan pematuhan dan penguatkuasaan yang adil?,” soal Lim lagi.