KJ tonton Piala Dunia, tidak hadir mesyuarat pra majlis Parlimen BN, kata Annuar

KJ tonton Piala Dunia, tidak hadir mesyuarat pra majlis Parlimen BN, kata Annuar

Khairy Jamaluddin mungkin tidak menyedari rancangan Barisan Nasional (BN) untuk keluar dewan pada sidang dewan rakyat di Parlimen hari ini.

Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa (gambar) dipetik berkata Ahli Parlimen Rembau itu tidak berbuat demikian kerana beliau tidak menghadiri mesyuarat pra-majlis Parlimen BN yang diadakan pada malam Ahad (15 Julai).

“Dia tidak hadir pada pertemuan itu, mungkin dia sibuk dengan final Piala Dunia.

“Pada mesyuarat ini, kami memutuskan bahawa jika kami tidak dibenarkan mengemukakan bantahan kami dengan cara yang telah ditetapkan oleh Speaker, kami akan keluar dan membuat sidang media,” ujarnya dalam sidang media hari ini seperti dilaporkan Staronline.

Ditanya sama ada mantan Menteri Belia dan Sukan itu akan dikenakan tindakan, Annuar berkata, “Tiada tindakan”.

Ketegangan bermula apabila Setiausaha Dewan Rakyat,Datuk Roosme Hamzah bangun mengumumkan pelantikan Speaker Dewan Rakyat yang baharu, tiba-tiba ahli Parlimen BN dan Pas memintas menyatakan lantikan itu tidak sah.

Roosme memaklumkan hanya satu nama yang diterima untuk pelantikan jawatan tersebut.

Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) bangun untuk menyatakan protes terhadap prosedur pencalonan dengan merujuk kepada ‘Point of Order’ namun proses pelantikan diteruskan.

Tindakan itu mengundang kritikan daripada Ahli Pembangkang yang lain dari Pas dan BN. Mereka kemudian bertindak untuk keluar Dewan.

Usul itu kemudian dibentangkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan disokong oleh timbalannya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Khairy dan Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman tidak menyertai tindakan ahli parlimen pembangkang keluar dewan hari ini.

Anifah  dalam kenyataanya berkata, beliau akan bertindak keluar bersama-sama beberapa rakan pembangkang yang lain sekiranya tidak berpuas hati dengan mana-mana isu melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

9.5
OVERALL SCORE
: 8.0
3 user votes x 10.0