Malaysia Dateline

KKM angkat sektor swasta banyak bantu penyampaian perkhidmatan kesihatan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengakui berhadapan cabaran dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan Malaysia setanding dengan kelompok-kelompok negara yang mempunyai ekonomi pendapatan menengah atas.

Namun begitu, Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata, Malaysia masih berdepan masalah di mana peruntukan perbelanjaan dalam sektor kesihatan sepanjang dua dekad lalu adalah sedikit atau ‘underspending’.

Beliau turut menyentuh tentang kerjasama bersama sektor perkhidmatan kesihatan swasta pada masa kini yang dianggap penting sebagai membantu kerajaan mempertingkatkan serta menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti untuk rakyat Malaysia.

“Kalau kita perhatikan dari sudut ingin mencapai ekonomi kelas menengah atas, kita dapati bahawa perbelanjaan dalam sektor kesihatan hampir dua dekad lalu, adalah tidak mencukupi.

“Seharusnya kita berbelanja sebanyak tujuh peratus daripada hasil Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Kementerian bukan penyelia kesihatan untuk orang awam sebaliknya saya memandang berat peranan pihak swasta untuk mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan.

“Sebab itu antara lain dalam Peka B40, saya melibatkan pihak swasta termasuk klinik-klinik swsta. Saya memandang kepada perbelanjaan dengan pelaburan besar dari pihak swasta,” katanya dalam rancangan Bicara Naratif dengan tajuk ‘Pencapaian Kementerian Kesihatan 2019’, di TV1 malam tadi.

Terdahulu, kerajaan menyediakan peruntukan RM30.6 bilion bagi memastikan rakyat memperoleh akses penjagaan kesihatan berkualiti untuk semua selaras dengan aspirasi masyarakat yang inklusif.

Dr Dzulkefly berkata, peruntukan itu lebih tinggi berbanding RM28.7 bilion oada belanjawan tahun lalu yang bertujuan meringankan beban perbelanjaan penjagaan kesihatan awam.

Justeru katanya, peningkatan tersebut menunjukkan kedudukan negara yang semakin menampakkan pencapaian yang baik.

Beliau turut menyarankan agar sektor awam dan swasta terus menggembeleng tenaga mempertingkatkan penyampaian kesihatan secara menyeluruh.

“Memandang kedepan nanti saya mahu pihak swasta juga mempertingkatkan nilai dasar dalam penyampaian mereka disamping pertingkatkan kualiti perkhidmatan yang buka sahaja merangkumi aspek perawatan, bahkan juga aspek pencegahan,” ujarnya.