KKM batal projek bina hospital baharu Kampar: Kenapa Zambry diam?

KKM batal projek bina hospital baharu Kampar: Kenapa Zambry diam?

Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak kecewa dengan dakwaan Ahli Parlimen  Kampar Dr Ko Chung Sen bahawa Hospital baharu di Daerah Kampar yang bernilai RM150 Juta telah dibatalkan oleh KKM.

Tan Seng TohNaib Pengerusi Amanah Perak Tan Seng Toh (Gambar kiri) berkata, parti itu kesal dengan sikap membisu Zambry di dalam perkara ini.

“Pengumuman projek hospital ini dibuat pada tahun 2012 di atas tanah seluas 104.26 ekar yang terletak di Tanjung Rengas, Bandar Baru Kampar kira-kira lima kilometer dari hospital lama. Hospital ini apabila siap kelak mampu memuatkan 150 katil terpaksa dibatalkan dengan pelbagai alasan yang diberikan.

“Datuk Seri Zambry yang telah membentangkan rancangan lima tahun Negeri Perak di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak pada bulan Ogos 2015 yang lalu juga telah memaklumkan projek ini bakal dibina di Kampar.

“AMANAH Perak kesal dengan sikap ‘membisu’ Datuk Seri Zambry di dalam perkara ini,” ujarnya.

Bagaimanapun Seng Toh berpandangan, penduduk Kampar khususnya dan rakyat Perak juga wajar menghukum Barisan Nasional (BN) kerana mengabaikan kesihatan rakyat dan gagal menunaikan janji yang telah dibuat.

Pada Rabu, Ahli Parlimen Kampar, Dr Ko Chung Sen dalam sidang medianya di Ipoh dipetik berkata, hospital bernilai RM150 juta yang pada mulanya menggunakan kaedah kerjasama awam swasta telah ditangguhkan sehinggalah Kementerian Kesihatan memutuskan untuk tidak meneruskannya.

Menurut Chung Sen lagi, ia kerana tapak ditetapkan di bandar Agacia, Taman Kampar Putra adalah kawasan bekas lombong yang mana komposisinya 40 peratus tanah dan selebihnya air memerlukan peruntukan tinggi bagi tujuan rawatan tanah.

Dan sebab kedua adalah Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) bercadang membina hospital bercirikan hospital pengajar iaitu 4 kilometer (km) dari tapak cadangan pembinaan hospital baharu itu.

Chung Sen juga menerangkan pada 25 Julai lalu, pihaknya menerima jawapan bertulis Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Subramaniam bagi pertanyaan lisan di dalam Dewan Rakyat mengenai pembinaan hospital tersebut.

Beliau berkata, alasan diberikan tidak dapat diterima memandangkan hospital sedia ada di daerah ini tidak mampu menampung keperluan 120,000 penduduk, tambahan pula struktur bangunan sudah lama.

Katanya, beberapa kondominium dan pangsapuri telah dibina di kawasan berhampiran tapak pembinaan hospital baharu tanpa sebarang masalah membuktikan komposisi tanah bukan tidak boleh diatasi.

Sedangkan kedua-dua bangunan ini lebih 20 tingkat, manakala hospital baharu dengan 150 katil yang dicadangkan tidak akan melebihi lima tingkat.

 

COMMENTS

Wordpress (0)