Malaysia Dateline

KKM beli PPE secara pukal untuk memastikan stok berterusan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan proses perolehan pakaian perlindungan peribadi (PPE) secara pembelian pukal di peringkat pusat dan negeri demi memastikan stok alatan tersebut dapat dibekalkan secara berterusan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan lain-lain agensi pusat bagi memastikan isu berkaitan stok ini dapat diberi perhatian khusus.

Beliau berkata, sumbangan PPE oleh pelbagai pihak swasta, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan para dermawan terus dialukan dan jutaan terima kasih diucapkan kepada mereka.

“Bagi memantau rapat paras stok dan kadar penggunaan bagi setiap jenis PPE di setiap negeri, KKM telah menggunakan sistem pelaporan dan pengkalan data atas talian yang mudah.

“Ianya dikendalikan oleh pegawai di setiap Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), hospital-hospital dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) termasuk semua Klinik Kesihatan di bawah masing-masing PKD.

“Laporan ini dipantau rapat dan tindakan mobilisasi stok akan dibuat. Senarai nama, nombor telefon dan emel pegawai bagi setiap negeri telah dimaklumkan bertujuan membantu orang umum dan kakitangan untuk memberi maklumbalas sekiranya didapati berlaku kekurangan PPE,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.