Malaysia Dateline

KKM beri amaran varian membimbangkan Covid-19 sudah meluas dalam komuniti

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menolak kemungkinan penularan lebih meluas dalam komuniti sudah berlaku bagi sekurang-kurangnya satu jenis varian membimbangkan (VOC) di semua negeri di negara ini.

KKM memberitahu situasi pada masa ini perlu diambil serius oleh setiap individu berikutan VOC didapati mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi.

“Sekiranya rantaian jangkitan penularan tidak diputuskan, ia akan terus merebak dan lebih sukar bagi kita untuk terus membendung peningkatan kes Covid-19,” katanya di Twitter hari ini.

Setakat semalam, terdapat 199 kes positif Covid-19 membabitkan 104 VOC iaitu B.1.135, B.1.1.7 dan B.1.167 selain baki 95 kes ialah varian mempunyai kepentingan (VOI) iaitu B.1.525 dan P.3 di seluruh negara.

Rekod KKM menunjukkan Selangor mencatat kes positif Covid-19 kategori VOC tertinggi dengan 42 kes, diikuti Sarawak 20 kes iaitu tujuh kategori VOC dan 13 (VOI).