Malaysia Dateline

PDRM

KKM buat laporan polis berhubung fitnah berkaitan isu kontrak RM30 juta

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini membuat laporan polis berhubung fitnah yang mendakwa lima pegawai Menteri dan Kementerian itu telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam satu kenyataan hari ini KKM berkata, laporan tersebut dibuat di Balai Polis Putrajaya.

“Fitnah itu dibuat menerusi penulisan di beberapa akaun Facebook termasuk di akaun Facebook ‘Teuku Shafiz Rullah’, ‘STEADYAKU47’, dan akaun Twitter ‘Fadzilah [email protected]’,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, posting di Facebook dan kicauan di Twitter berkenaan mendakwa SPRM telah menahan dua pegawai kanan Menteri Kesihatan dan tiga pegawai kementerian itu.

Katanya lagi, posting itu antara lain mendakwa ‘Menteri Kesihatan juga terlibat’ dalam siasatan SPRM terhadap syarikat yang memperolehi kontrak RM30 juta.

“KKM melahirkan rasa kesal terhadap fitnah tersebut.

“Sehubungan itu, KKM berharap pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dapat melakukan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook dan Twitter berkenaan serta mengambil tindakan sewajarnya.

“KKM juga memohon kepada netizen supaya menghentikan perkongsian tersebut,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil beberapa syarikat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mendapat kontrak secara tidak layak bagi menyediakan kelengkapan makmal yang dianggarkan bernilai RM30 juta.

Sumber SPRM berkata, ia turut termasuk sebuah syarikat pembinaan yang didakwa memperolehi projek pembinaan makmal Kementerian Kesihatan.

Menurut sumber itu, siasatan kini terarah kepada proses pelantikan kontraktor bagi setiap perolehan untuk memastikan ianya dilaksanakan tanpa rasuah, salah guna kuasa dan perlu mematuhi undang-undang serta peraturan ditetapkan.

Metro melaporkan, pada 30 April lalu, peguam Wee Choo Keong meminta KKM bersikap telus berhubung kontrak perolehan yang diberikan kepada sebuah syarikat yang didakwa tidak layak, yang membabitkan usaha melawan Covid-19.

Beliau mendakwa syarikat itu adalah sebuah syarikat pemaju hartanah tetapi mendapat kontrak melengkapkan makmal bagi tujuan saringan jangkitan dan kemudian untuk membekalkan PPE.