Malaysia Dateline

KKM cadang tangguh rentas negeri semasa Aidilfitri

Kmenterian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mencadangkan rentas negeri untuk sambutan Aidilfitri bersama keluarga masing-masing pada bulan lima nanti ditangguh.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, penangguhan perjalanan perlu dilakukan memandangkan kes harian masih meningkat.

“Sepertimana kita sedia maklum, kebanyakan negeri ketika ini masih di bawah PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) dan PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) sehingga 28 April ini.

“Memandangkan kes harian masih meningkat dan belum stabil, maka pergerakan ini perlu ditangguhkan. Program vaksinasi (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) pun masih dijalankan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan buku ‘Malaysia Health Sector Response to Covid-19: Perspectives From The Field’, di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, bazar Ramadan juga akan ditutup jika terdapat kluster jangkitan dipercayai daripada aktiviti bazar.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata KKM perlu membuat pengumuman lebih awal berhubung rentas negeri sempena perayaan Aidilfitri ini.

Beliau berkata, ia berikutan keputusan sama ada membenarkan atau tidak orang ramai melakukan rentas negeri ketika perayaan itu adalah atas nasihat kementerian berkenaan.

Katanya, isu rentas negeri untuk pulang beraya adalah perkara utama khususnya apabila Ramadan tiba.