Malaysia Dateline

KKM hantar Ketua Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit ke Sabah

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berusaha sebaik mungkin bagi mengekang penularan wabak COVID-19 khususnya di negeri Sabah yang mencatat jumlah kes yang banyak setiap hari.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham memaklumkan KKM telah mengahantar Ketua Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit Dr Suresh dari Hospital Sungai Buloh dan pasukan ke Hospital Semporna Sabah.

Katanya, pasukan ini diperlukan bagi melihat kepada penambahbaikan dan memberi tunjuk ajar serta dorongan kepada semua warga kerja KKM.

“InshaAllah dengan usaha dan tawakkal semoga kita semua diberkati dan berjaya,” katanya.

Menurut salah seorang ‘frontliner’ di Hosital Semporna Sabah kehadiran pakar berkenaan sebagai usaha keras KKM bagi merancang strategi terkini dan efektif dalam menangani wabak di Semporna.

“KKM, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Hospital Semporna akan berusaha sehabis mungkin demiĀ  menyelamatkan nyawa pemberian Tuhan yang sangat berharga.

“Tidak ada rehat panjang dalam usaha memerangi Covid-19 di Semporna buat para frontliner. Kami semua berdedikasi untuk memenangi pertempuran ini.

“Masyarakat Semporna jangan risau. Kami sedang berusaha melakukan yang terbaik untuk anda. Doakan kami untuk membantu anda dengan jayanya,” kata.

Penularan wabak COVID-19 dalam negara semakin membimbangkan apabila semalam mencatat angka 561 kes iaitu rekod kedua tertinggi selepas mencatatkan 691 kes pada 6 Oktober lalu.

Sejak berlaku PRN Sabah, negeri itu terus mencatat jumlah kes yang tertinggi iaitu 488 kes pada semalam diikuti Selangor 26 kes dan Kedah 16 kes.

Sehingga hari ini jumlah kes positif virus tersebut sebanyak 15,657 kes manakala terdapat 4,587 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19.