Malaysia Dateline

KKM kaji cadangan guna khidmat perubatan swasta, bantu pantau individu kuarantin di rumah

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meneliti insentif yang boleh diberikan kepada pihak perubatan swasta untuk membantu kerajaan memantau individu yang menjalani kuarantin di rumah.

Menterinya, Khairy Jamaluddin menyambut baik cadangan Steven Sim (PH-Bukit Mertajam) agar kerajaan menyediakan khidmat pemantauan di rumah dengan memobilisasi pegawai perubatan swasta.

“Saya setuju pandangan Mertajam agar kita meramaikan khidmat swasta untuk melaksanakan ‘home quarantine’.

“Setakat sekarang, CAC GP (CAC swasta) yang diwartakan dan menjalankan pemantauan di rumah adalah seramai 65 bilangan pengamal perubatan swasta.

“Tapi yang diwartakan adalah satu ribu lebih. Saya akan lihat apa insentif yang dapat kita beri kepada mereka untukĀ membantu kerajaan dalam pemantauan kuarantin di rumah ini,” katanya dalam sesi penggulungan di Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab persoalan yang mencadangkan Steven agar individu-individu yang dikuarantin di rumah, dipantau oleh pegawai perubatan untuk mengelakkan kes kematian di luar hospital (BID).

Sementara itu Khairy memaklumkan, jumlah BID setakat Ogos lalu adalah seramai 2,417 kes.

Dari keseluruhan jumlah berkenaan, seramai 217 kematian atau 14 peratus merupakan mereka yang mendapatkan rawatan di pusat-pusat kesihatan kerajaan dan swasta.

Manakala 2,200 kematian BID atau 86 peratus adalah mereka yang tidak dipantau dan tidak dijaga di bawah mana-mana jagaan pusat kesihatan.

Bagaimanapun Khairy menegaskan, pihaknya telah mengarahkan agar KKM meneliti bagaimana individu berkenaan tidak diletakkan di bawah jagaan pusat kesihatan.

. “Sama ada mereka ini tidak bersimtom (asymptomatic) atauĀ  mengalami Hypoxia. Dan kemerosotan itu berlaku dalam tempoh masa 48 jam, serta tidak sempat dihantar ke hospital. Kebanyakan kes, kemerosotan berlaku tiba-tiba,” ujarnya.