Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan bahawa satu kes positif cacar monyet atau ‘monkeypox‘ (Mpox) varian Clade II dikesan semalam membabitkan seorang lelaki tempatan.
Penemuan itu menjadikan kesemua 10 kes bermula 26 Julai lalu hanya membabitkan varian Clade ll sahaja yang mana kadar kematiannya lebih rendah berbanding virus dikategorikan sebagai mudah berjangkit iaitu Mpox Clade I (10 peratus).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, pesakit tempatan terbabit mula menunjukkan gejala demam, sakit tekak dan batuk pada 11 September lalu manakala ruam pula mula muncul sehari selepas itu.
Dr Muhammad Radzi menerusi satu kenyataan yang dikongsikan di akaun Facebook rasmi KKM itu turut mendedahkan bahawa pesakit berkenaan kini sedang diasingkan dan berada dalam keadaan stabil.
“Pesakit yang tiada sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari sebelum gejala timbul kini sedang dalam isolasi dan berada dalam keadaan stabil.
“Semua kontak bagi pesakit ini sedang dikenalpasti dan status kesihatan mereka akan dipantau mengikut tatacara kendali piawai (SOP) semasa yang ketat,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Dalam perkongsian yang sama, orang ramai diberikan pelbagai maklumat mengenai Mpox termasuk langkah-langkah pencegahan supaya dapat memainkan peranan masing-masing dalam meningkatkan kawalan kesihatan kendiri.
Apakah itu Mpox?
- Sejenis jangkitan disebabkan oleh virus monkeypox atau MPVX yang berlaku melalui sentuhan rapat dengan individu yang mempunyai gejala dan tanda penularan Mpox.
- Gejala mpox adalah demam berserta ruam makula papular atau ruam lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva dan juga kornea.
- Tempoh inkubasi sebelum individu menunjukkan gejala adalah antara lima (5) ke 21 hari dari pendedahan kepada jangkitan.
- Individu yang positif mpox boleh menjangkiti orang lain antara sehari sebelum gejala muncul sehingga semua lepuh telah kering serta tanggal sepenuhnya.
- Lazimnya kes mpox akan sembuh sendiri tanpa sebarang rawatan khusus.
Langkah-langkah pencegahan
- Individu berisiko tinggi yang bergejala demam, bengkak kelenjar limfa dan ruam atau melepuh perlu segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat.
- Elakkan bersentuhan secara langsung dengan individu yang disyaki atau disahkan dijangkiti mpox termasuk hubungan seksual.
- Mengamalkan kawalan kesihatan kendiri seperti mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman.
Baca juga: Ribuan rakyat Malaysia habiskan cuti di Thailand, orang Thai sampai tak dapat nak pergi Hatyai