Malaysia Dateline

KKM kesan lagi 11 kes jangkitan Omicron

Sebanyak 11 lagi kes Covid-19 yang dijangkiti varian membimbangkan (VOC), Omicron kesemuanya adalah kes import dikesan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua kes yang mendapat jangkitan dari luar negara itu masing-masing tiga kes dari United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS), masing-masing dua kes dari Nigeria dan Arab Saudi serta satu dari Australia.

“Kes yang dikesan itu membabitkan sembilan warganegara Malaysia dan dua dari Nigeria.

“Lapan daripada mereka mempunyai gejala iaitu dalam kategori dua, manakala tiga lagi kes tidak menunjukkan sebarang gejala,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, kesemua kes yang dikesan mempunyai varian tersebut adalah daripada jumlah keseluruhan 18 kes yang disyaki dijangkiti Omicron seperti diumumkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Sehubungan itu, kata Dr Noor Hisham, negara setakat ini telah mencatatkan sebanyak 13 kes yang dijangkiti Omicron.

Ekoran pertambahan kes import varian Omicron di negara ini, KKM mempertingkatkan lagi aktiviti kawalan dan pencegahan Covid-19 termasuk varian Omicron di semua pintu masuk antarabangsa (PMA) dan dalam komuniti.

Mengulas lanjut mengenai kes yang dikesan Omicron itu, beliau berkata, lima kes sudah menjalani kuarantin di rumah, manakala enam lagi kes menjalani kuarantin di stesen kuarantin.

“Kesemua kes ini dalam siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca jangkitan dan kontak rapat.

Walau bagaimanapun, jelasnya, tujuh lagi sampel bagaimanapun tidak dapat disahkan varian Omicron memandang ujian jujukan genom penuh tidak berjaya dijalankan.

“Semua tujuh sampel ini didapati mempunyai nilai kitaran ambang (CT value) yang tinggi iaitu enam sampel dengan CT value melebihi 30 dan satu sampel mempunyai CT value 28.47,” katanya lagi.