Malaysia Dateline

KKM kesan sub kluster Covid-19 di Rembau

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan telah mengesan satu sub-kluster di daerah Rembau, Negeri Sembilan yang berkaitan dengan perhimpunan di Seri Petaling.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia adalah satu kluster yang melibatkan kakitangan sebuah sekolah dan beberapa lokaliti dalam daerah Rembau iaitu Pedas, Pilin, Kundur dan Batu Hampar.

“Sehingga jam 12 tengah hari, hari ini, terdapat 27 orang yang telah dikenalpasti positif Covid-19, termasuk dua kes yang dirawat di Unit Rawatan Intensif (ICU).

“Kluster ini mula dikesan apabila keputusan ujian wabak itu adalah positif bagi beberapa guru di sebuah sekolah.

“Penularan ini dipercayai berpunca daripada satu mesyuarat yang diadakan di sekolah berkenaan di mana ianya telah dihadiri oleh kes indeks (kes ke-448) yang merupakan salah seorang peserta perhimpunan di Seri Petaling,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, guru-guru dan kakitangan sekolah yang dijangkiti seterusnya menjangkiti ahli keluarga mereka dan penduduk kampung, sehingga terdapat tiga generasi jangkitan.

“Siasatan juga mendapati terdapat aktiviti kunjung-mengunjung ke rumah saudara untuk melawat ahli keluarga yang tidak sihat, walaupun negara kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya lagi.