Malaysia Dateline

KKM lancar e-Wallet (Boost), kurangkan masa menunggu di Klinik

Sejajar dengan seruan kerajaan untuk mewujudkan cashless society, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melancarkan projek kesihatan digital yang pertama dengan melaksanakan kaedah pembayaran tanpa tunai di klinik-klinik kesihatan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata, pelaksanaan bayaran perkhidmatan perubatan secara e-wallet (Boost) merupakan inisiatif KKM mempelbagaikan kaedah bayaran dan seterusnya menambahbaik perkhidmatan kaunter di klinik-klinik kesihatan.

Malah menurutnya, KKM merupakan kementerian pertama yang melaksanakan penggunaan e-Wallet yang memberi kemudahan dan keselesaan pada pesakit sekaligus mengurangkan masa menunggu di kaunter-kaunter pendaftaran

“Kita sedang dalam perancangan walaupun ambil sedikit waktu, dalam setahun dua ini, kita nak kembangkan dan laksanakan di seluruh negara selama mana fasiliti kita mempunyai talian internet dan pesakit masih menggunakan telefon bimbit. (Dengan itu), di mana pun kita boleh laksanakan cashless payment ini.

“Kaedah bayaran e-wallet (Boost) ini juga telah diadakan secara rintis di empat klinik kesihatan iaitu Klinik Kesihatan Cheras, Klinik Kesihatan Kuala Lumpur, Klinik Kesihatan Presint 18 Putrajaya dan Klinik Kesihatan Seremban,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pelaksanaan E-Wallet (Boost) di Klinik Kesihatan Cheras, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min; Ketua Pengarah Eksekutif Boost Axiata Digital Ecode Sdn Bhd, Mohd Khairil Abdullah; dan Pengarah Urusan & Ketua Eksekutif Kumpulan Perbankan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli.

Sementara itu, beliau berkata, KKM sedia melaksanakan bayaran bil melalui e-payment iaitu pesakit boleh menggunakan kad debit / kredit di hospital, pejabat kesihatan dan institusi kesihatan terpilih di seluruh Malaysia untuk membuat bayaran.

“Melalui transaksi e-Wallet (Boost), pesakit yang datang mendapatkan rawatan di klinik-klinik kesihatan mempunyai pilihan untuk menggunakan aplikasi Boost dalam membuat bayaran selain secara tunai, kad kredit dan kad debit,” ujarnya.

Tambah menarik katanya, transaksi e-wallet (Boost) di empat klinik kesihatan yang dijalankan secara rintis dijangka meningkat dengan aktiviti promosi yang akan dijalankan oleh pihak Axiata Digital Ecode Sdn Bhd dengan kerjasama RHB Islamic Bank Berhad serta Jabatan Kesihatan Negeri dan klinik-klinik kesihatan.

“Aktiviti-aktiviti promosi ini yang akan dijalankan dari semasa ke semasa dalam usaha membudayakan penggunaan aplikasi e-wallet di kalangan orang ramai yang datang mendapatkan perkhidmatan kesihatan di fasiliti-fasiliti KKM.

“Tertakluk kepada sambutan daripada pengguna, pembayaran secara e-wallet (Boost) tersebut akan diperluaskan ke fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia yang lain,” katanya.