KKM lapor polis isu fitnah pegawai kesihatan

KKM lapor polis isu fitnah pegawai kesihatan
Dua pegawai kwaihatan yang didakwa sebagai perompak kononnya mengetuk rumah untuk mendapatkan maklumat mengenai daftar pemilih yang menjadi viral di media sosial.

Hari ini tular di sosial media WhatsApp dengan gambar dua kakitangan kementerian Kesihatan yang didakwa kumpulan ‘perompak’ yang berlakon sebagai pegawai dari Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Mesej berkenaan turut mendakwa dua pegawai tersebut bergerak dari rumah ke rumah sebagai pegawai yang mahu mengesahkan kad pengenalan penduduk untuk pilihanraya akan datang.

Susulan penularan tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kemaskini akaun Facebooknya hari ini, kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang merakam gambar dan memfitnah dua kakitangannya ketika sedang bertugas.

KKM justeru itu, memaklumkan telah membuat laporan polis atas sebab mengganggu tugas penjawat awam dan memfitnah.

“Pada hari kejadian iaitu 9 Jan 2020, dua kakitangan kami ini sedang melakukan Active Case Detection (ACD) bagi Malaria.

“Dua kakitangan kami ini telah mematuhi semua prosedur yang ditetapkan seperti menunjukkan kad kuasa kepada penghuni rumah dan melakukan siar raya menggunakan kenderaan jabatan sebelum aktiviti ACD dijalankan.

“Justeru, tindakan merakam gambar, memfitnah dan menyebarkan di media sosial adalah satu kesalahan serius dan amat dikesali,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, orang awam seharusnya menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau pihak polis sekiranya melibatkan isu keselamatan dan bukannya bertindak menyebarkan maklumat palsu.

Dalam pada itu, KKM berharap kes tersebut menjadi pengajaran kepada orang awam supaya tidak bertindak keterlaluan kepada kakitangan awam yang melaksanakan tugas diamanahkan demi menjaga kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

“KKM berbangga dengan dua kakitangan ini iaitu seorang Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (dahulu dikenali sebagai Inspektor Kesihatan) dan Pembantu Kesihatan Awam yang sabar dan tidak bertindak di luar batasan sebagai kakitangan awam walaupun dilayan secara tidak adil serta difitnah,” katanya.