Malaysia Dateline

KKM nafi PKP akan dilanjutkan selepas 4 minggu

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak akan dilanjutkan selepas empat minggu dilaksanakan kerana ia memberi kesan kepada ekonomi negara.

Sebaliknya, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, usaha membendung pandemik Covid-19 akan diteruskan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama tiga bulan iaitu sehingga bulan Mei untuk menurunkan kes kepada dua angka.

Dr. Noor Hisham berkata, beliau yakin sekiranya langkah itu dapat dilaksanakan dengan berkesan, jumlah kes yang tinggi seperti sekarang dapat diturunkan.

Tambah beliau, pelaksanaan PKP yang bermula pada 13 Januari sehingga 4 Februari bertujuan untuk menstabilkan jumlah kes positif Covid-19 yang semakin meruncing.

“Jadi kalau kita laksanakan PKP empat minggu sampai Februari, disusul dengan PKPB kita jalankan selama tiga bulan, dijangkakan pada Mei depan kita akan dapat turunkan kes sehingga dua digit.

“Jadi kita jangkakan empat minggu PKP. Kita tidak akan panjangkan PKP kerana ia memberi kesan kepada eknomi,” katanya seperti dipetik MalaysiaGazette semalam.

Untuk rekod, Majlis Keselamatan Negara telah mengarahkan pelaksanaan PKP di seluruh Malaysia kecuali Sarawak sehingga 4 Februari ini.