KKM nafi syarikat Pharmaniaga Bhd monopoli ubat

KKM nafi syarikat Pharmaniaga Bhd monopoli ubat

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan syarikat Pharmaniaga Bhd. (Pharmaniaga) mendapat monopoli dalam proses pemerolehan ubat-ubatan dalam sektor kesihatan awam di negara ini.

Menurut Menterinya Dr Dzulkefly Ahmad Pharmaniaga bukan satu-satunya bertindak sebagai monopoli atau pemegang konsesi tunggal kerana kerana terdapat juga vendor lain yang membekalkan secara langsung kepada semua fasiliti kesihatan.

Katanya, pengurusan perolehan ubat dalam sektor awam dilaksanakan melalui dasar-dasar perolehan dan arahan Kementerian Kewangan seperti pembelian-pembelian melalui tender-tender nasional,  perjanjian konsesi dan pembelian secara terus oleh hospital dan klinik.

Pada tahun 2017, perbelanjaan KKM untuk ubat-ubatan dan ‘consumable items’ adalah kira-kira RM3.3bilion.

Lebih kurang 33.4% (RM1.1bilion) daripada perbelanjaan kesihatan KKM adalah dari syarikat konsesi manakala 66.6% (RM2.2bilion) merupakan perolehan yang dilakukan oleh fasiliti berkaitan melalui kontrak agensi pusat atau sebut harga.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada laporan berita di portal Free Malaysia Today (FMT) bertarikh 6 Jun 2018 bertajuk “Review Pharmaniaga’s role, think tank urges government”,

Dalam kenyataannya, beliau berkata, sumber luar dalam memperolehi sumber produk farmaseutikal dilakukan melalui proses tender yang merangkumi spesifikasi produk dan teknikal yang diuruskan Bahagian Perkhidmatan Farmaseutikal, KKM dan proses pemilihan produk oleh lembaga perolehan di KKM.

Jelasnya, perjanjian konsesi semasa untuk tempoh 10 tahun (2008-2018) merangkumi 18
piawaian prestasi yang mesti dipatuhi oleh Pharmaniaga.

“Piawaian yang ketat ini memantau bekalan dan penghantaran, kualiti produk dan keperluan stok penampan untuk memastikan bekalan berterusan yang tidak dikuatkuasakan kepada pembekal lain.

“Kegagalan memenuhi piawaian itu akan menyebabkan Pharmaniaga dikenakan penalti kewangan,” ujarnya.

Di samping itu, katanya, ubat yang dipesan oleh kemudahan kesihatan awam mesti dihantar dalam masa tujuh hari bekerja melalui penghantaran pintu ke pintu, termasuk kawasan-kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak.

Namun demikian, katanya, sebahagian besar pembekalan ubatan melalui mekanisme rundingan terus terbuka berdasarkan perjanjian konsesi Pharmaniaga dan konsesi lain yang seumpamanya untuk perkhidmatan kesihatan hospital telah menyebabkan ia menjadi satu isu yang menarik perhatian umum.

“Di bawah mandat baharu yang diberikan oleh rakyat, KKM di bawah kerajaan baharu komited untuk menjadi lebih telus dalam pemberian kontrak-kontrak berkenaan, serta berlaku adil kepada semua pembekal dalam pasaran yang kompetitif.

“Pada masa ini KKM sedang mengkaji keseluruhan rantaian bekalan meliputi ekonomi, permintaan dan penawaran dalam usaha memastikan ketelusan, penjimatan kos dan keberkesanan ketersediaan bekalan.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
2 user votes x 10.0