Malaysia Dateline

KKM padam kenyataan kluster kilang di Selangor

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) didapati telah memadam kenyataan yang mengatakan sektor perkilangan merupakan penyumbang terbesar kepada kluster di negeri Selangor.

Kenyataan itu dipetik daripada Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Indera Dr Sha’ari Ngadiman yang bercakap ketika sidang media hari ini.

Malaysia Dateline turut melaporkan kenyataan ini berdasarkan posting di Twitter dan Facebook rasmi KKM.

Bagaimanapun didapati posting di kedua-dua platform itu telah dipadam.

Tinjauan melalui Twitter KKM mendapati ramai warga Twitter telah mempersoalkan admin KKM terbabit kerana telah menarik balik status tersebut.

Malah ada yang merasa kesal seolah-olah KKM mahu menafikan kes positif di Selangor berpunca daripada sektor perkilangan.

Seorang pengguna Twitter @ NaimNazir berkata ramai sudah mengetahui bahawa ada arahan dari pihak tertentu yang menyembunyikan fakta yang jelas meruntuhkan segala usaha rakyat dan Frontliners.

“Ramai dah scerenshort tweet KKM berkenaan kluster kilang di Selangor tadi,” kata Naim.

Seorang lagi, @wann_ismail turut menyifatkan sektor perkilangan yang beroperasi di Selangor merupakan racun kepada rakyat negeri itu.

“Ni pun racun,” kata Wann yang merujuk kepada kenyataan KKM berkenaan produk kecantikan yang mempunyai racun dikongsi selepas status berkenaan kluster dipadam.

Terdahulu, dalam sidang media KKM Pengarah Kesihatan Negeri Selangor menegaskan tiada satu pun kluster di Selangor berpunca daripada sambutan perayaan.

Peningkatan kes hasil saringan terkait kluster ini adalah disebabkan oleh saringan berkaitan kluster-kluster tempat kerja, dan bukannya dari kluster yang terkait dengan perayaan Hari Raya Aidiladha.