KKM penentu kelulusan perniagaan Vape, kata DBKL

KKM penentu kelulusan perniagaan Vape, kata DBKL

Hanya kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang membolehkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengeluarkan lesen perniagaan kepada peniaga Vape dalam negara.

Unit Media Jabatan Perancangan Korporat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyatakan, pengeluaran lesen perniagaan bukan terletak dari persetujuan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sahaja.

Malah katanya, kelulusan dan kebenaran dari pihak KKM yang menentukan perniagaan Vape itu dibolehkan untuk beroperasi.

“Biarpun perusahaan Vape mendapat kebenaran dari KPKT dan KPDNHEP, tapi kelulusan dari KKM yang utama diambil kira sebelum kami keluarkan lesen.

“Semakan oleh pihak kami mendapati bahawa peniagaan vape dibenarkan untuk beroperasi selagi mereka mempunyai Lesen Premis/Perniagaan. Manakala jika mereka ingin memasang papantanda, mereka perlu mendapatkan lesen iklan daripada DBKL.

“Tidak kira mereka berniaga secara konvensional atau melalui talian, masih boleh dapatkan lesen. Tapi perlu dapatkan kelulusan KKM sebelum kami keluarkan lesen,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Sementara itu, PBT DBKL juga menafikan wujudnya isu terlepas pandang arahan atau pekeliling yang diberikan pihak atasan.

“Tiada isu terlepas pandang dalam hal ini kerana pengkhususan lesen vape memang tiada cuma kebenaran atau permit yang diperlukan daripada agensi lain iaitu KKM,”ujarnya.

Semalam, Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) meminta supaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat mengeluarkan lesen perniagaan sah kepada hampir 400 ahlinya secepat mungkin.

Setiausaha Agungnya, Ridhwan Rosli berkata, sehingga kini, 20 peratus dari sekitar 1,800 ahlinya yang masih tidak mendapat lesen perniagaan dari pihak PBT yang menjejaskan sehingga 366 ahli.

“Namun, berlaku masalah dalam kalangan peniaga kerana PBT kemungkinan terlepas pandang pekeliling untuk mengeluarkan lesen.

“Masalah ini ada yang berlarutan sehingga tiga tahun dan kami berharap PBT berkenaan dapat meluluskan permohonan mereka sekaligus memudahkan pemantauan pihak berkuasa,” katanya.