KKM perjelas isu Pelantikan Pegawai Perubatan Siswazah dalam perkhidmatan awam

KKM perjelas isu Pelantikan Pegawai Perubatan Siswazah dalam perkhidmatan awam

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hari ini tampil menjelaskan mengenai isu pelantikan Pegawai Perubatan Siswazah (HO) bagi menjalani latihan siswazah dan khidmat wajib.

Ia susulan, kenyataan yang dikeluarkan beberapa media tempatan dan yang terbaharu adalah melalui portal CodeBlue, berkaitan isu ‘Medical Officers May Never Get Permanent MOH Appointments’ pada 1 November lalu.

Dr Dzulkefly menjelaskan, pada ketika ini, pihaknya mempunyai obligasi seperti yang ditetapkan menerusi Akta Perubatan 1971 untuk menyediakan penempatan bagi latihan siswazah dan khidmat wajib kepada graduan perubatan.

“Memandangkan sebelum ini terdapat isu graduan terpaksa menunggu lama dan HO menghadapi masalah untuk melengkapkan latihan siswazah dalam tempoh dua tahun, sebanyak 32.9 peratus HO (berdasarkan kajian Institut Pengurusan Kesihatan), terpaksa menangguhkan latihan atas pelbagai sebab seperti masalah kompetensi, prestasi dan peribadi.

“Tempoh maksimum lantikan kontrak adalah selama lima tahun, iaitu tiga tahun bagi latihan siswazah dan dua tahun bagi khidmat wajib. Dengan perubahan dasar itu, pihak kami telah berjaya melantik seramai 16,407 HO bagi tempoh Disember 2016 sehingga Oktober tahun ini, dengan jumlah tanggungan emolumen sebanyak RM1.63 bilion.

“Tetapi, isu tempoh menunggu masih berlaku disebabkan faktor luar kawalan seperti jumlah keluaran graduan yang semakin meningkat, khususnya graduan perubatan luar negara berbanding dengan 12,033 slot latihan yang disediakan di 46 Hospital Latihan Siswazah, serta terdapat HO lantikan tetap yang masih belum menamatkan latihan siswazah.

“Berdasarkan rekod semasa, jumlah graduan yang ditawarkan lantikan kontrak pada tahun ini sehingga November adalah seramai 6,307 orang, manakala yang masih menunggu adalah seramai 1,152 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas di kementeriannya hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Selaras dengan Dasar Kawalan Saiz Perkhidmatan Awam dan Dasar Penggunaan Sumber Manusia Secara Optimum yang dikuatkuasakan oleh kerajaan mulai tahun 2015, Dr Dzulkefly berkata pihaknya tidak lagi menerima perjawatan tambahan melalui Anggaran Belanjawan Mengurus (ABM) Tahunan.

“Sebaliknya, kami perlu mengguna pakai perjawatan sedia ada dan melaksanakan urusan tukar ganti perjawatan (trade off) bagi tujuan mewujudkan jawatan Pegawai Perubatan.

“Dengan pelaksanaan pelantikan kontrak (di bawah peruntukan OS29000) tanpa melibatkan perjawatan tetap, perjawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 yang sebelum ini digunakan untuk latihan siswazah telah ditukar ganti kepada Pegawai Perubatan Gred 44/48 bagi menampung HO yang telah menamatkan latihan.

“Justeru, pada 12 Julai 2018, kami telah mengemukakan permohonan kepada Agensi Pusat untuk mewujudkan jawatan tambahan sebanyak 21,741 bagi menampung keperluan perkhidmatan di fasiliti baharu dan fasiliti dinaik taraf.

“Namun, KKM diminta untuk mengkaji semula agar mengemukakan permohonan perjawatan bagi fasiliti yang dinaik taraf dan baharu sahaja yang akan beroperasi pada tahun ini hingga 2020. Berhubung perkara itu, permohonan bagi 10,675 jawatan pelbagai telah dikemukakan dan ianya sedang dalam pertimbangan Agensi Pusat,” jelas Dr Dzulkelfy yang juga merupakan Pengarah Strategi AMANAH.