Malaysia Dateline

KKM perlu tetapkan strategi, pastikan kelancaran suntikan dos penggalak, kata PH

Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan menggesa kerajaan menjelaskan strategi mereka untuk melancarkan dos ketiga dan suntikan penggalak Covid-19 kepada rakyat Malaysia yang layak, terutama warga emas berkomobiditi, dan petugas barisan hadapan berisiko tinggi.

PH berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu menetapkan kriteria dan strategi implementasi yang jelas untuk memastikan kelancaran terutamanya apabila dijangkakan 8.75 juta rakyat akan menerima dos ketiga atau dos penggalak ini.

PH juga menyatakan kebimbangan terhadap kenyataan rasmi Persatuan Perubatan Malaysia (PPM) yang menyatakan bahawa belum terdapat penglibatan yang betul dari jabatan kesihatan negeri yang masih sepi dalam program dos ketiga ini.

“Ini tidak sepatutnya berlaku kerana kita harus mempelajari dari kesilapan lepas termasuk penglibatan Pengamal Am swasta pada minit-minit terakhir.

“Oleh itu kita menyeru pihak Kementerian Kesihatan supaya memperjelaskan strategi mereka. Ini termasuk jangka masa yang jelas implementasi ke seluruh negara.

“Dan perincikan definisi dan kategori yang jelas berkelayakan untuk dos ketiga dan suntikan penggalak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dari 28 September hingga 11 Oktober, terdapat lebih kurang 55.6 peratus atau 76,186 daripada 137,109 kes-kes Covid-19 yang baru dilaporkan di Malaysia adalah dari kalangan yang lengkap vaksin.

Kadar kes-kes Covid-19 yang lengkap vaksin bertambah dari 51 peratus pada 28 September kepada 60 peratus pada 11 Oktober.

Pada jangka masa yang sama, 77 peratus daripada 23,864 kes Covid-19 di Sarawak adalah dari kalangan mereka yang lengkap vaksin.

Menurut PH, lebih daripada 50 peratus kes baru-baru ini yang dilaporkan di Labuan, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Selangor, Putrajaya, Perlis dan Pulau Pinang, adalah kebanyakannya daripada kalangan warga emas yang berumur 60 tahun keatas dengan kadar imunisasi yang berkurangan, dan gejala kesihatan yang sedia ada

Justeru itu PH menegaskan, kerajaan perlu ada usaha mendidik kepentingan dos tambahan kepada semua yang layak dan memastikan tiada yang ketinggalan dalam program pelancaran ini.

Kerajaan juga katanya, perlu melibatkan pengamal am di peringkat awal dan menyediakan strategi pelancaran yang jelas untuk memastikan program pelan dos ketiga dan vaksin penggalak ini adalah pantas dan efisien, &

“Selain itu, kami berpendirian bahawa Kementerian Kesihatan dan Agensi Pengawal Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) harus meluluskan segera suntikan vaksin heterologi dengan dos penggalak,” ujarnya.

Kenyataan tersebut dibuat bersama antara Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye; Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming; Ahli Parlimen Lumut, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli; Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin; Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau;

Turut serta, Exco Kerajaan Selangor dan ADUN Serdang, Dr Siti Mariah Mahmud; Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin; Exco Kerajaan Negeri Sembilan, Veerapan Supramaniam; Wakil AWAN AMANAH, Dr Hafidzah Mustakim; dan MPP PKR Dr Zaliha Mustafa