Malaysia Dateline

KKM perlu tukar teknik ujian Covid 19, cadang bekas menteri

Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan bahawa kerajaan perlu menggunakan teknik Rapid Test Kit (RTK) Antigen atau kit ujian pantas untuk tujuan diagnosa Covid-19 ekoran peningkatan kes yang semakin tidak terkawal.

Beliau berkata, dengan kadar positif yang dijangkakan kurang dari lima peratus oleh WHO, Malaysia perlu meningkatkan kapasiti ujian sehingga 200,000 sehari dengan menggunakan kit pantas RTK Antigen.

Namun menurutnya, kerajaan gagal berbuat demikian kerana masih menggunakan teknik Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR) yang mengambil masa lebih dua hari untuk mendapat keputusan ujian.

“Namun @KKMPutrajaya masih tidak mendapat mesej besar kita.

“Dengan 4000 kes setiap hari, Malaysia perlu meningkatkan ujian. Mengikut kadar positif kes oleh WHO yang kurang dari 5 peratus, kita perlu melakukan 200,000 ujian. Bolehkah teknik PCR lakukan sebanyak itu?

“Bolehkah @KKMPutrajaya buat 200,000 ujian PCR? Tak boleh, dan tak akan boleh sebab kita sedang buat ujian pengawasan dan bukannya diagnosis klinikal. Kita memerlukan RTK-Antigen yang cepat dan murah,” katanya dalam satu siri Tweetnya hari ini.

Dzulkefly berkata, dengan menggunakan kit ujian pantas, orang ramai boleh memperoleh hasil keputusan pada hari yang sama selepas ujian.

Berbanding menggunakan PCR katanya, keputusan akan dapat diperoleh hanya selepas tiga hari.

“Jujur, saya mula curiga mengapa mereka berkeras mahu menggunakan PCR untuk pengawasan. Jika pengawasan menggunakan ujian PCR, maka ini senario dia:

“Hari pertama buat ujian, hari ketiga dapat keputusan. Hari kelima hubungi kes, dan hari ke enam hingga tujuh, jemput pesakit dan asingkan mereka,” tambahnya lagi.

Sementara itu beliau berkata, untuk menangani gelombang ketiga wabak Covid-19, Kementerian Kesihatan perlu meningkatkan kecepatan keputusan ujian dan menambahkan kapasiti ujian dengan menggunakan RTK Antigen.