Malaysia Dateline

KKM rekod kes sembuh lebih tinggi dari kes harian Covid-19

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini merekodkan kes sembuh sebanyak 6,715 kes mengatasi kes harian baharu.

Kumulatif kes sembuh dan dibenarkan discaj ketika ini sebanyak 2,368,634 atau 96 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam hantaran di Facebooknya memaklumkan, negara mencatat 5,854 kes positif Covid-19 baharu menjadikan keseluruhan kes dalam negara sebanyak 2,466,663 kes.

Daripada jumlah kes baharu itu, kerajaan mengesan 5,841 kes tempatan dengan 13 lagi merupakan kes import.

Sementara itu, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula sebanyak 570 kes, dan 293 kes lagi memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu Noor Hisham memaklumkan, daripada 5,854 kes harian yang dilaporkan hari ini, 79 kes (1.3 peratus) adalah dari kategori 3, 4, dan 5.

Manakala 5,775 kes (98.7 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.