Malaysia Dateline

KKM sahkan kematian Orang Asli Suku Bateq berpunca demam campak

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan kematian Orang Asli Suku Bateq, Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan adalah berpunca daripada wabak demam campak (measles).

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata, berdasarkan keputusan analisa sampel persekitaran dan laporan forensik, kematian Orang Asli tersebut tidak berpunca daripada keracunan logam berat.

Katanya, sebanyak 16 kematian dilaporkan, di mana empat kematian dilaporkan ke KKM iaitu tiga kematian dilaporkan ke Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, dan satu kematian dilaporkan ke Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.

“Manakala, 12 kematian lagi dilaporkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Kelantan. Daripada 16 kematian tersebut, empat kematian disahkan demam campak.

“Lapan kematian lagi mempunyai kaitan epidemiologi dengan wabak demam campak, manakala empat kematian lagi tidak dapat ditentukan puncanya kerana tahap pereputan yang teruk.

“Sebagai rumusan, wabak penyakit saluran pernafasan dalam kalangan Orang Asli yang berlaku dari 3 Jun hingga 10 September lalu, adalah berpunca daripada wabak demam campak,” katanya dalam sidang media di kementeriannya, di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Dr Lee Boon Chye dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly yang juga merupakan Pengarah Strategi AMANAH berkata, beberapa sampel persekitaran juga telah diambil untuk diuji kehadiran logam berat, mikroorganisma dan racun perosak.

“Sampel persekitaran itu adalah seperti air minum, tanah dan makanan (ikan masin kering).

“Hasil pemeriksaan mendapati, sumber air minum Orang Asli iaitu air tandak, air sungai dan air telaga mematuhi nilai piawai kualiti air mentah untuk minuman dan bebas racun makhluk perosak, namun sumber air minum tersebut tercemar dengan beberapa bakteria patogenik,” katanya lagi.

Untuk rekod, wabak yang melanda masyarakat Orang Asli Suku Bateq pada April lalu, meragut nyawa 15 orang mangsa dari Kampung Kuala Koh.

15 Jun lalu, media tempatan melaporkan, pihak PDRM telah menemui empat mayat terakhir Orang Asli suku Bateq yang dipercayai meninggal dunia akibat jangkitan radang paru-paru.

Penemuan empat mangsa terakhir itu menjadikan 12 mayat sudah ditemui sejak Ops Bateq bermula 4 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, empat mayat berkenaan ditemui dan ditanda selepas lebih dua jam perjalanan menggunakan bot menyusuri Sungai Lebir dan satu jam berjalan kaki.

Taufik juga berkata, pihaknya menerima dua laporan daripada Orang Asli membabitkan jangkitan kuman di paru-paru atau ‘Pneumonia’.