Malaysia Dateline

KKM siasat kandungan arak selain methanol

Kementerian Kesihatan masih melakukan siasatan lanjut bagi mengetahui kandungan arak sehingga mengakibatkan 19 individu maut selepas meminumnya kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini kandungan yang telah dikenal pasti adalah methanol yang melebihi paras yang dibenarkan oleh pihak berkuasa.

“Kita percaya arak tersebut merupakan campuran bahan-bahan yang boleh membawa maut.

“Kesemua sampel arak itu masih sedang dianalisis di makmal serta di Hospital Sungai Buloh,” katanya pada mediaselepas merasmikan Persidangan Hasil Pembedahan Katarak Pasifik Barat di Hospital Shah Alam hari ini.

Beliau menambah, siasatan itu penting dalam membantu pihak polis melakukan tindakan seterusnya.

Ujarnya, kenyataan akhbar berkaitan hasil siasatan tersebut akan dikeluarkan dalam dua hari lagi.

“Sekarang ini masih ramai individu sedang menerima rawatan berhubung kes tersebut dan kita masih memantau tahap kesihatan setiap pesakit tersebut.

“Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad dijangka akan memberikan butiran lanjut berkaitannya dalam sidang akhbar petang ini,” katanya.

Semalam media melaporkan seramai 19 mangsa maut manakala 14 lagi masih kritikal selepas dipercayai meminum arak jenama Kingfisher Beer, Mandalay Whisky serta Grand Royal Whisky buatan India dan Myanmar di sekitar Lembah Klang kelmarin