Malaysia Dateline

KKM sila kawal kementerian, jangan ikut suka kenakan PKPB

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegur Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar bertegas menangani kementeriannya supaya tidak terus-terusan mengenakan cara yang ‘mabuk’ dan belum diperhalusi terutama berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau berkata, kuatkuasa PKPB yang dilaksanakan di beberapa bahagian Semenanjung seolah-olah tidak mempertimbangkan kepadatan populasi dan rakyat di sesebuah negeri.

Malah tegasnya, pendekatan menyekat pergerakan rakyat dengan PKPB jelas menunjukkan wujudnya unsur pendekatan politik dalam keputusan yang diambil.

“Sekarang pendekatan kawal Covid-19 seolah-olah ada unsur pendekatan politik. Jangan sampai rakyat lihat dalam hal kesihatan pun kerajaan masih mahu politikkan.

“Lihat di Johor, mereka menegaskan tidak mahu PKPB. Bahkan saya lihat, ada beberapa negeri yang tidak capai pun tahap untuk dikenakan PKPB.

“Saya minta Menteri Kesihatan bertegas menangani kementeriannya supaya tidak terus mengenakan cara ‘drank dan crude’ lockdown ini,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2021 dalam sidang Dewan Rakyat tengah hari tadi.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan perlu mengambil kira pandangan beberapa pakar kesihatan yang mempersoalkan di mana hujah untuk mengenakan sekatan PKPB.

Selain itu, Dzulkefly yang mengetuai pasukan task force Covid-19 Selangor mempersoalkan di mana peruntukan sehingga RM3 bilion yang dicanang Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Sebelum ini, ketika pembentangan Belanjawan 2021, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, mengumumkan akan menyediakan peruntukan kos melebihi RM3 bilion bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia

“Saya masih gagal untuk mencari di mana RM3 bilion peruntukan untuk vaksin yang disebutkan Menteri MOSTI. Saya juga tak melihat peruntukan itu di bawah KKM,” katanya lagi