Malaysia Dateline

KKM syor SOP PKPB diperketat, jangkitan boleh cecah 1,300 sehari

Kementerian Kesihatan mengesyorkan supaya prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, langkah tersebut bertujuan mengekang penularan Covid-19 dalam komuniti.

Sehubungan itu, jelasnya, KKM akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai saranan tersebut.

“Mesej KKM ialah duduk di rumah dan kalau terpaksa keluar, perlu mematuhi SOP.

“Sehubungan itu, KKM ingin mencadangkan supaya memperketat lagi PKPB dan membenarkan sektor ekonomi sahaja,” katanya pada sidang media, di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, angka jangkitan baharu Covid-19 boleh mencecah antara 1,200 hingga 1,300 sehari menjelang 31 Oktober ini mengikut nilai R0 atau kebolehjangkitan semasa yang berada pada kadar 1.5.

Nilai R0 merujuk bilangan individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Jika nilai R0 ialah 1.5, bermakna satu kes positif boleh menyebarkannya kepada antara satu hingga dua individu lain.

“Berdasarkan graf nilai R0 ketika ini yang masih berada pada unjuran 1.5, kes baharu boleh mencecah antara 1,200 hingga 1,300 sehari menjelang 31 Oktober depan.

“Ini perkara yang kita bimbangkan. Namun, adalah tidak mustahil untuk kita menurunkan nilai R0 itu jika ada kerjasama padu daripada semua pihak bersama Kementerian Kesihatan,” katanya.

Dr Noor Hisham memberitahu nilai R0 mencecah 3.5 ketika gelombang kedua tetapi lengkuk berjaya dilandaikan sehingga turun kepada 0.3.

“Oleh itu, tidak mustahil untuk kita menurunkannya sekali lagi,” tambahnya lagi.

Kes harian positif Covid-19 menyaksikan peningkatan mendadak selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dengan tertinggi hari ini sebanyak 871 kes.

Sejak 1 Oktober, kes baharu positif Covid-19 melebihi 200 angka dengan pola pertambahan kes secara drastik.

Bagi empat hari kebelakangan ini, kes jangkitan harian meningkat secara konsisten dengan dua hari sebelum itu pada 13 dan 14 Oktober merekodkan 660 kes.

Keesokannya, sebanyak 589 dicatat diikuti pada 16 Oktober dengan 629 kes dan semalam 869 kes.

Hari ini jumlah keseluruhan positif Covid-19 melepasi angka 20,000 iaitu 20,498 dengan 7,049 kes aktif atau pesakit yang sedang dirawat.

Dalam masa sama, seramai 701 pesakit pulih sekali gus angka tertinggi sejak wabak dengan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 adalah 13,262 kes.

Pada 9 Oktober lalu, Dr Noor Hisham telah mengesahkan Malaysia memasuki gelombang ketiga pandemik Covid-19 dan mengingatkan orang ramai supaya bekerjasama memutuskan penularan rantaian pandemik itu.