Malaysia Dateline

KKM terima 109,806 aduan rakyat hilang punca pendapatan dan kerja

Talian Bantuan Sokongan Psikososial Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima sebanyak 122,328 panggilan yang berkait rapat dengan isu-isu psikologi.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Noor Hisham Abdullah, sebanyak 109,806 penggilan iaitu 89.4 peratus telah diterima KKM daripada pelbagai masalah sosial yang dihadapi oleh rakyat negara ini.

Antaranya, kehilangan punca pekerjaan dan pendapatan, hilang tempat bergantung, pergaduhan antara ahli keluarga dan masalah rumah tangga yang membabitkan pertengkaran, perpisahan, penceraian dan penderaan emosi serta fizikal.

Bagi menangani gejala tekanan yang dihadapi rakyat KKM telah mewujudkan beberapa inisiatif iaitu bekerjasama dengan MERCY Malaysia dalam memberikan perkhidmatan talian bantuan sokongan psikososial yang berpusat di CPRC, KKM sejak 25 Mac 2020.

Selain itu, KKM juga bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan mewujudkan talian bantuan masing-masing iaitu KSK Care (JAKIM) dan Talian KASIH.

KKM turut melaksanakan sesi webinar kepada masyarakat tentang topik kesihatan mental yang berkait rapat dengan tekanan semasa pandemik COVID-19.

“Sesi ini dikendalikan oleh pakar-pakar psikiatri, pegawai psikologi (klinikal dan kaunsling) dari hospital-hospital serta kaunselor dari Persatuan PERKAMA International,” katanya.

Justeru beliau berkata impak psikologi perlu diberi perhatian dalam menghadapi ancaman wabak COVID-19 ini bahawa perasaan cemas, gemuruh serta sedih ketika menghadapi tekanan adalah sebahagian dari kehidupan
terutamanya ketika berhadapan pandemik COVID-19 ini.