Malaysia Dateline

KKM tidak beri ‘gelang pink’, kata Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan beliau melanggar arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana tidak memakai ‘gelang pink’ ketika menjalani kuarantin kendiri.

Muhyiddin berkata, beliau tidak diberikan gelang pegawasan oleh KKM berdasarkan penilaian risiko yang dibuat oleh pegawai KKM pada 5 Oktober 2020.

“Perdana Menteri dinasihatkan menjalani kuarantin kendiri dan memantau status kesihatan kendiri di rumah setiap hari selama 14 hari menggunakan home assesment tool (HOT) dalam aplikasi MySejahtera.

“Sehubungan itu beliau tidak dikehendaki oleh KKM untuk memakai gelang pengawasan,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri.

Keputusan ujian saringan pengesanan COVID-19 yang dilakukan 5 Oktober ke atas beliau lalu telah disahkan negatif pada 6 Oktober.

Selain itu, beliau juga telah melakukan tiga ujian pengesanan COVID-19 dalam tempoh tiga minggu lalu iaitu pada 22, 26, dan 29 September 2020 didapati negatif.

Beliau bagaimanapun dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala daam tempoh pemantauan tersebut.

Semalam, ketika menyampaikan perutusan khas secara langsung di facebooknya Muhyiddin dikecam para netizen ekoran beliau tidak memakai gelang pink selepas beliau didapati kontak rapat dengan Menteri Agama Dr Zulkifli Al Bakri yang didapati positif COVID-19.