Malaysia Dateline

KKM tubuh 213 pusat penilaian Covid-19 yang jalani kuarantin di rumah

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menubuhkan sejumlah 213 Pusat Penilaian Covid-19 (CAC – Covid-19 Assesment Centre) di seluruh negara bagi mengendalikan penilaian pesakit Covid-19 yang menjalani rawatan di rumah.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, daripada jumlah CAC tersebut, sebanyak 40 telah ditubuhkan di Sarawak, 30 di Pulau Pinang, 25 di Sabah, 19 di Selangor, 14 di Kelantan, 13 di Terengganu.

Di Perlis, Kedah, Perak dan Pahang pula ada 11 setiap negeri; 10 di Johor; 7 di Negeri Sembilan; masing-masing 5 di Melaka dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya; dan 1 di Wilayah Persekutuan Labuan.

CAC akan mengklasifikasi tahap pesakit Covid-19 untuk menentukan pengurusan pesakit yang seterusnya, termasuk kelulusan rawatan di rumah.

Secara amnya, kata Adham, satu daerah mempunyai satu CAC, dan ada kemungkinan wujudnya dua (2) atau lebih CAC bergantung kepada bilangan pesakit yang diuruskan.

CAC, katanya, akan berperanan mengenal pasti pesakit yang sesuai untuk dipantau di rumah. Petugas CAC kemudian akan memantau dan menilai pesakit di rumah menggunakan Home Assessment Tool (HAT).

“Pasukan CAC juga akan bertindak mengenal pasti dan menilai pesakit yang berkemungkinan menjadi lebih teruk,” kata Adham.

CAC juga, katanya, akan mengenal pasti pesakit yang memerlukan rujukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) atau hospital iaitu pesakit Kategori 1 & 2 yang tidak sesuai untuk ditempatkan dan tidak sesuai dipantau dari rumah.

CAC juga berfungsi untuk menyelaras rujukan dari klinik kesihatan ke PKRC atau ke hospital.

Setiap CAC di peringkat daerah diketuai oleh seorang koordinator.

Orang ramai yang mempunyai keperluan boleh menghubungi CAC melalui nombor telefon yang akan dinyatakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) masing-masing.

Justeru, katanya, dengan langkah-langkah tersebut, Kementerian Kesihatan menyeru supaya  semua pihak bersama-sama memerangi penularan Covid-19, secara bersepadu.

KKM menerusi pelbagai peringkat dan saluran akan memaklumkan langkah-langkah seterusnya yang mesti dipatuhi dan diamalkan oleh pesakit sepanjang tempoh rawatan di rumah, katanya lagi.