Malaysia Dateline

KKM tubuh badan siasatan bebas tanggani isu gangguan seksual

Sebuah Badan Penyiasatan Bebas ditubuhkan bagi menyiasat isu gangguan seksual terhadap pegawai perubatan siswazah oleh seorang ketua jabatan di sebuah hospital.

Menteri Kesihatan Datuk Dr Dzulkefly Ahmad berkata, badan penyiasatan itu menggabungkan Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta agensi berkaitan.

“Hasil mesyuarat bersama pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini, KKM memutuskan untuk menubuhkan sebuah Badan Penyiasatan Bebas (Independent Inquiry Body) yang menggabungkan KKM, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.

Pihak KKM seterusnya telah menjalankan mesyuarat bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh lewat petang tadi bagi membincangkan tindakan yang wajar diambil,” ujarnya dalam kenyataan rasmi semalam.

Menurutnya susulan pembongkaran kes ini, lebih ramai pegawai perubatan termasuk pelatih perubatan siswazah tampil membuat aduan yang serupa kepada pejabat Menteri Kesihatan dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui pelbagai saluran.

“KKM menyeru semua mangsa yang menghadapi kekerasan atau gangguan di tempat kerja sama ada dalam bentuk fizikal, verbal, mental atau seksual untuk membuat laporan terus kepada Menteri Kesihatan di alamat emel [email protected]

“KKM juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan ini,” ujarnya