Malaysia Dateline

KKM tubuh jawatankuasa siasatan dalaman, siasat dakwaan Orang Asli dipaksa suntik

Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan satu jawatankuasa siasatan dalaman bagi menyiasat dakwaan sebuah portal berita berhubung Orang Asli dipaksa mengikuti program perancang keluarga, termasuk disuntik sehingga memberi kesan sampingan teruk.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, laporan siasatan berhubung isu itu dijangka diperolehi selewat-lewatnya 26 Julai ini.

Beliau berkata, siasatan dalaman itu melibatkan tiga perkara iaitu pertama, menyiasat dakwaan sama ada berlakunya paksaan dalam penerimaan ubat perancang dalam kalangan Orang Asli.

“Kedua, mengenal pasti kelemahan dalam penyampaian program perancang keluarga dan yang ketiga, mengenai saranan penambahbaikan ke atas penyampaian program tersebut.

“Walau bagaimanapun, ketika siasatan sedang dijalankan, sekiranya terdapat salah laku yang melibatkan kakitangan saya, kami akan memberi kerjasama.

“Pegawai dan kakitangan saya mengejar masa siang dan malam. Mereka komited dalam program berkenaan, maka saya tidak mahu sebarang tuduhan dilemparkan kepada kakitangan saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia, di Centre Atrium, eCurve, Mutiara Damansara, hari ini.

Jawatankuasa siasatan dalaman itu diketuai oleh Pakar Perubatan Kesihatan Keluarga merangkap Pengerusi, Dr Ayob Bah Los bersama lapan lagi ahli panel terpilih dari Jabatan Kesihatan Negeri Perak.

Rabu lalu, sebuah portal berita melaporkan suntikan perancang keluarga yang didakwa diberikan oleh kakitangan KKM kepada wanita Orang Asli didakwa memberi kesan sampingan teruk.

Suntikan bagi mengawal kelahiran itu mengandungi hormon progestin yang menghalang kehamilan yang tidak dirancang selama tiga bulan pada satu-satu masa.

Nora dari Kampung Lambok, RPS Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan mendakwa pasangan Orang Asli baru berkahwin menjadi sasaran dan dipaksa mengambil suntikan selepas hanya mendapat seorang cahaya mata.

Beliau mendakwa dirinya ditekan supaya mengambil suntikan perancang keluarga selepas kelahiran anak keempatnya pada 2014.