Malaysia Dateline

KKM tubuh Majlis Penasihat Kesihatan tangani isu dan cabaran

Berdepan dengan pelbagai isu dan cabaran dalam bidang kesihatan yang kompleks dan berpanjangan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencari pendekatan baharu dan kreatif dengan menubuhkan Majlis Penasihat Kesihatan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya telah mencadangkan penubuhan majlis itu dan ia diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri 15 Januari lalu.

Katanya, penubuhan majlis itu antara lain dalam usaha untuk menyampaikan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang terbaik.

“Pihak kami mengambil maklum aspek penjagaan kesihatan merangkumi bidang yang amat luas membabitkan semua agensi dan kementerian. Kerjasama sektor awam dan swasta pula dilihat sebagai satu mekanisme yang perlu diteroka dengan lebih mendalam, bukan sahaja sebagai penyelesaian kepada masalah, tetapi juga penambahbaikkan kepada sistem sedia ada.

“Kerjasama sektor awam dan swasta pula dilihat sebagai satu mekanisme yang perlu diteroka dengan lebih mendalam, bukan sahaja sebagai penyelesaian kepada masalah, tetapi juga penambahbaikan kepada sistem sedia ada.

“Oleh itu, pihak kementerian melihat terdapat keperluan untuk menyediakan platform bagi membolehkan pakar-pakar dan tokoh di luar KKM berkongsi idea dan pandangan mengenai kesihatan, mengetengahkan isu dan penyelesaian tanpa menafikan kepakaran sedia ada yang dimilik KKM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Zulkefly berkata, Majlis Penasihat Kesihatan itu dianggotai tujuh ahli majlis yang telah dipilih beliau dan akan bertindak sebagai ex-officio.

“Majlis ini akan bermesyuarat sekurang-kurangnya 12 kali setahun atau berdasarkan keperluan. Setakat ini, majlis telah bersidang sebanyak tiga kali dan berjaya mengenal pasti serta merumuskan faktor-faktor kesihatan utama yang memberi impak besar ke atas ‘Health Performance’ (Prestasi Kesihatan) negara kita,” katanya.

Senarai ahli majlis yang telah dilantik adalah seperti berikut:

1) Tan Sri Datuk Abu Bakar Sulaiman (Pengerusi)
Mantan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Pengerusi IMU Group

2) Tan Sri Jemilah Mahmood
Under Secretary General Partnerships, International Federation of Red Cross and Red Crescent Socities

3) Tan Sri Datuk Kamal Mat Salih
Profesor Ekonomi dan Kajian Pembangunan, Universiti Malaya

4) Prof Datuk’ Dr Adeeba Kamarulzaman
Dekan Fakulti Perubatan, Universiti Malaya

5) Dato Dr Musa Mohd Nordin
Pakar Perunding Pediatrik, Hospital Pakar KPJ Damansara

6) Dato Dr Alex Mathews
Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Gleneagles

7) Dr Yap Wei Aun
Country Technical Director, Malaysia Health System Project, Harvard School of Public Health