Malaysia Dateline

KKMM pastikan capaian jalur lebar diperluas di Sandakan, kata Gobind

Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan memastikan capaian perkhidmatan jalur lebar diperluas di daerah ini biarpun kawasan liputan dan talian tetap perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat telekomunikasi adalah tinggi.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata untuk perkhidmatan jalur lebar talian tetap Unifi Telekom Malaysia (TM), sebanyak 16,000 talian disediakan dan sehingga kini hanya 6,846 talian digunakan, manakala jalur lebar Streamys TM terdapat 29,929 talian disediakan dan hanya 28.5 peratus digunakan.

Bagi perkhidmatan rangkaian 3G di daerah ini, ia mencapai 95.6 peratus, manakala LTE 4G sebanyak 77.8 peratus.

“”Walaupun angka diserahkan kepada saya menunjukkan sebenarnya peringkat Connectivity” perkhidmatan jalur lebar di Sandakan ini adalah agak tinggi tapi masih juga ada aduan bahawa di sesetengah tempat tiada perkhidmatan Unifi dan internet langsung.

“Jadi saya telah terima semua aduan dan salurkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan berharap mereka melihat perkara tersebut dalam masa dekat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas beliau bersama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong menjadi tetamu pada sesi dialog anjuran DAP Elopura di sini, hari ini.

Menurut beliau, komitmen itu sejajar dengan usaha kerajaan untuk memperkembangkan infrastruktur perkhidmatan jalur lebar di seluruh negara khususnya menerusi pelaksanaan projek perintis Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

“Ini bermakna kita akan pergi ke setiap negeri dan dalam negeri itu kita fokus kepada perkara ini dan kita akan wujudkan bahagian aduan di bawah SKMM untuk diterima daripada masyarakat.

“Ini khususnya bagi mengenal pasti masalah kesalinghubungan jalur lebar di negeri berkenaan,” katanya.

Ditanya mengenai kempen DAP di PRK Sandakan, Gobind berkata biarpun DAP menerima sokongan meyakinkan sepanjang kempen di PRK itu, parti itu perlu bekerja keras untuk mendengar rintihan masyarakat tempatan.

Beliau berharap perjalanan kempen di PRK Sandakan berjalan lancar dan semua calon termasuk DAP menggunakan pendekatan masing-masing untuk memastikan sokongan daripada pengundi.- BERNAMA