Malaysia Dateline

KKMM sedia bantu promosi acara yang bersesuaian, untungkan negara

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bersedia bekerjasama dengan mana-mana penganjur program untuk mempromosikan acara mereka sekiranya ia sesuai dengan skop tugasan kementerian itu dan memberi keuntungan kepada negara.

Timbalan Menterinya Eddin Syazlee Shith berkata sebagai contoh kementeriannya bekerjasama dengan tiga agensi iaitu Pertubuhan Amal dan Sukarelawan Batu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk program berunsurkan kekeluargaan seperti Majlis Berinai Beramai-Ramai 100 Cinta Walimatulurus Rahmah Wilayah Persekutuan malam tadi.

“Kami dijemput untuk membantu dari segi promosi dan bantuan lain yang bersesuaian, tetapi inisiatif besar (penganjuran program tersebut) adalah daripada tiga badan tadi (Pertubuhan Amal dan Sukarelawan Batu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

“KKMM bantu untuk mana (aspek) yang memerlukan dan bersesuaian dengan skop kerja kami,” katanya ketika ditemui dalam majlis tersebut di Dataran Merdeka, di sini.

Majlis tersebut menyaksikan 61 pasangan yang bakal melangsungkan perkahwinan diraikan dengan kesemua pengantin perempuan telah berinai secara beramai-ramai.

Eddin dalam pada itu turut berharap acara itu mendapat perhatian Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta agensi berkaitan untuk diperluaskan kerana ia mampu menarik perhatian pelancong untuk mempelajari adat dan budaya masyarakat di negara ini.

— BERNAMA