Malaysia Dateline

KKMM senarai 6 berita palsu sepanjang Covid-19

Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (KKMM) menyenaraikan enam berita palsu yang tular di laman sosial antaranya saman RM200 terhadap individu yang tidak memakai penutup mulut dan hidung (mask).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, KKMM memaklumkan bahawa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan tersebut termasuk saman sebanyak RM300 jika menaiki kereta lebih daripada seorang.

Menurut Pasukan Respon Pantas KKMM, PDRM juga menafikan dakwaan seramai empat orang lelaki India yang disahkan positif COVID-19 lari dari Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang.

“Pada masa sama, pihak Hospital Dungun menafikan kesemua staf hospital tersebut telah dikuarantin.

“Walaupun terdapat kes positif COVID-19 di hospital tersebut, arahan kuarantin tidak melibatkan kesemua staf seperti yang didakwa,” kata kenyataan itu.

Antara berita palsu yang turut tular adalah simtom terbaru berkait dengan Covid-19 iaitu hilang selera makan dan hilang deria bau.

Menurut KKMM lagi, perkara tersebut telah dinyatakan sebagai tidak benar oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pejabat Menteri Besar Selangor juga menafikan dakwaan beberapa lokasi panas wabak COVID-19 meliputi kawasan Sg. Lui, Sg. Ramal Dalam, Sg. Merab dan Jalan Kebun yang kononnya dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor.