KL akan menjadi hub kreativiti dan inovasi, kata Menteri Wilayah

Kami berbangga bandaraya kami adalah pusat kerjasama pelbagai kaum dan mempunyai hubungan yang baik antara sektor swasta dan awam untuk kepentingan umum, kata Menteri Wilayah kepada peserta Varitas Lecture.

 

Menteri Wilayah Khalid Samad berkata, menjadi visi beliau untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai hub kepada kreativiti dan inovasi serta rakan yang baik kepada ahli perniagaan dan pelabur.

“Dalam masa yang sama kita mahu mengekalkan indentiti, traidisi komunitinya serta warisan pelbagai kaum penduduknya,” kata Khalid ketika memberikan ucap utama dalam siri syarahan anjuran Veritas Design di sebuah hotel semalam.

Katanya, KL mungkin tidak mempunyai mitos asalnya sebagaimana Rome dan Melaka, “Tetapi kami berbangga bandaraya kami adalah pusat kerjasama pelbagai kaum dan mempunyai hubungan yang baik antara sektor swasta dan awam untuk kepentingan umum.”

Dalam pada itu, ketika bercakap kepada media selepas syarahan itu, Khalid berkata, Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2020 akan digezetkan tidak lama lagi.

“Kami sasarkan pertengahan November ini menggezetkan pelan ini bersama dengan keterangan tentang perlanggaran yang telah berlaku kepadanya,” kata Khalid.

Tujuan utama mengapa ia perlu digezetkan walupun sudah lambat adalah untuk memastikan pembangunan yang dibuat berdasarkan pelan yang telah dirancang dan dikaji sejak 2008 lalu bukan mengikut selera sahaja.