KL dinobat Ibu Kota Buku Dunia Unesco 2020

KL dinobat Ibu Kota Buku Dunia Unesco 2020
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad menunjukkan watikah yang diterima Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia dari wakil Unesco, Ian Denison.

Kuala Lumpur akan melakar satu lagi sejarah baharu sebagai Ibu Kota Buku Dunia pada tahun 2020 oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Sejarah baru itu menuruti kota Sharjah, UAE yang menjadi Ibu Kota Buku Dunia 2019.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad, sejarah baharu ini menandakan Kuala Lumpur telah diiktiraf sebagai sebuah bandar raya yang menunjukkan komitmen yang tinggi kepada aktiviti perbukuan, kesusasteraan, kesenian dan gerakan membaca.

“Malah ini bermaksud juga bahawa kita mahu menjadikan Kuala Lumpur sebagai kota yang ada roh dan kota yang ada keprihatinan terhadap pelbagai lapisan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 di DBKL hari ini.

Dengan slogan “KL Baca Menyantuni Masyarakat Melalui Pembacaan”, Kuala Lumpur akan menggerakkan gelombang pembacaan dan gelombang keprihatinan melalui pengupayaan buku mulai 23 April 2020 sehingga 22 April 2021.

Jelas Khalid, sepanjang tempoh setahun pelbagai perancangan telah diatur termasuklah pembangunan infrastruktur dan aktiviti, antaranya pemuliharaan Sungai Gombak sebagai lokasi riadah dan pelancongan dengan berkonsepkan River of Life.

“Pembinaan pusat membaca di setiap pusat perumahan rakyat, pembinaan Lorong Buku yang mewakili setiap kota yang pernah dinamakan sebagai ibu kota buku dunia, pembinaan perpustakaan terapung di pinggiran Sungai Gombak.

“Dan kepelbagaian aktiviti pembacaan dan pengupayaan buku yang menyasarkan kepelbagaian kelompok termasuklah gelandangan, golongan kurang upaya, orang Asli, kumpulan pendatang, anak yatim, banduan dan banyak lagi,”tambah beliau.

Pasukan pelaksana juga sudah merancang beberapa program antarabangsa antaranya Kuala Lumpur Sharjah Festival, World Book Capital Award, ASEAN Cultural Festival, malah antara yang sangat signifikan adalah penubuhan World Book Capital Global Network Secretariat di Kuala Lumpur.

Sekretariat WBC akan menjadi pusat komunikasi dan maklumat kepada semua ibu kota yang pernah dinamakan sebagai WBC juga dewan pameran replika semua kota WBC ini.